1MDB: PAS tuntut penjelasan Gabenor Bank Negara

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS menuntut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberikan maklumat lanjut berhubung aduan BSI Bank Ltd Singapore yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana isu itu adalah isu besar yang melibatkan imej negara dan wang rakyat pada skala yang begitu besar.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Zeti semalam yang mengesahkan menerima laporan dari Bank Pusat Singapura berhubung aduan BSI Bank Ltd Singapore mengenai akaun yang dikaitkan dengan 1MDB.

Walau bagaimanapun, Zeti tidak memberikan maklumat lanjut tindakan yang diambil setelah menerima laporan tersebut.

"Adakah arahan pembekuan akaun 1MDB dan akaun seluruh ahli Lembaga Pengarah sudah dikeluarkan beserta pembekuan cek tandatangan mereka?" tanya Mahfuz dalam satu kenyataan.

Begitu juga, katanya adakah laporan dan tindakan selanjutnya sudah dimaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyekat kesemua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi 1MDB daripada meninggalkan negara ini.

Justeru, kata beliau PAS mengingatkan Gabenor Bank Negara Malaysia agar tidak sesekali bersekongkol dalam sebarang usaha melindungi dan menyelamatkan 1MDB yang sedang dilanda kontroversi hebat sekarang.

"Apa yang diharapkan sekarang adalah penjelasan dan maklumat yang jelas dan benar dikeluarkan khususnya berkenaan dakwaan bahawa anak syarikat 1 MDB, telah mengemukakakan penyata akaun bank yang palsu kepada BSI Bank Ltd Singapore dan juga isu simpanan dana tunai dan aset 1MDB yang dibawa pulang hasil pelaburan di Cayman Island," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. - HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace