Anak bimbang saham FGV terus jatuh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyuarakan kebimbangan mengenai kejatuhan berterusan saham FGV, spekulasi yang kononnya FGV akan dikeluarkan dari kelompok 30 syarikat utama di KLSI dan kedudukannya di Bursa Malaysia.

"Saya mengharapkan Bursa Malaysia respons dan menjawab isi kandungan 7 mukasurat memo yang diserahkan dan mengambil tindakan segera," ujarnya.

Beliau telah menyerahkan memo kepada Bursa Malaysia petang semalam yang diterima oleh Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan Bursa Malaysia, Saidi Ahmad. Turut hadir ialah Penasihat Anak Dr Rosli Yaakop, Mohamad Said Jonit, peguam Harris Abdullah dan Isa Atan yang mewakili peneroka.

"Iktibar sebelum ini dalam isu KPF umpamanya, apabila SKM gagal membuat pemantauan dan keputusan tepat, akhirnya KPF kini terumbang-ambing.

"Begitu juga dalam isu Amanah Saham Johor yang lingkup dan lain-lain," kata Mazlan.

Selepas ini, ujarnya Anak akan ke Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk reviu memo kepada mereka sebelum penyenaraian pada 28 Jun dan apa tindakan yang dilakukan oleh SC berhubung dengan prospektus yang dikeluarkan oleh FGV.

"Adakah ia mengandungi 'dorongan yang tidak wajar' dilakukan oleh FGV, sehingga dianggap memperdaya pemegang saham?" tanya beliau.

Katanya, Bursa Malaysia dan SC harus berterus terang mengenai kedudukan FGV kerana ia membabitkan kepentingan strategik 1.5 juta warga Felda. - HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace