KWSP perlu segera perkenal skim persaraan patuh syariah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berharap Jawatankuasa Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat diperkasakan dan segera mendapatkan pandangan awam berhubung skim persaraan patuh syariah.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada jawapan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berhubung soalan lisannya di Dewan Rakyat, semalam.

Soalan yang beliau kemukakan adalah berdasarkan kepada taklimat KWSP pada 24 April 2015 yang mendedahkan hanya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan aset KWSP yang bernilai RM636 bilion adalah pelaburan patuh syariah dan bakinya 60 peratus adalah konvensional.

Ini, ujarnya menunjukkan caruman pekerja khususnya daripada golongan Muslim terdedah kepada portfolio pelaburan yang tidak patuh syariah.

Tambahan pula, katanya dalam satu kajian yang dijalankan oleh KWSP pada hujung bulan lalu, sebanyak 71 peratus daripada 96,000 responden yang bersedia untuka bertukar kepada skim persaraan patuh syariah berbanding skim persaraan yang sedia ada.

Beliau berkata, ini adalah masa yang terbaik untuk pihak KWSP mengambil tindakan berdasarkan kepentingan awam untuk menyediakan skim persaraan patuh syariah kepada para pencarum.

"Saya difahamkan pihak KWSP telah mensasarkan pelaksanaan agenda ini pada tahun 2017," ujarnya.

Selain itu, beliau juga ingin mencadangkan agar pihak KWSP boleh menyediakan pilihan konsultansi pengurusan kewangan secara Islam yang merangkumi wasiyat, hibah, faraid dan waqaf kepada pencarum.

Ini, kata beliau membolehkan pihak pencarum mendapatkan gambaran yang luas untuk mengurus dan memperoleh manfaat di dunia dan akhirat daripada harta mereka selain daripada menggunakan harta tersebut secara cermat ketika umur persaraan. - HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace