MAS pecat kakitangan, kerajaan perlu campur tangan

| .

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu campur tangan segera berhubung isu pemecatan 8,000 kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bagi memastikan mereka tidak dianiaya oleh syarikat tersebut.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, 8,000 kakitangan MAS perlu diselamatkan dan mereka tidak boleh dijadikan mangsa kerana penstrukturan semula organisasi berkenaan.

"Keputusan MAS untuk membuang pekerjanya adalah suatu yang amat memeranjatkan rakyat negara ini.

"Tindakan ini dilakukan sebagai alasan MAS untuk penstrukturan semula organsasi berkenaan, keputusan ini perlu campur tangan kerajaan terutamanya Menteri Pengangkutan," katanya.

Menurut beliau, MAS yang ditubuhkan sejak tahun 1972 sebagai Syarikat Penerbangan Malaysia yang pertama gagal mengaut keuntungan secara berturut-turut selama beberapa tahun dan ini menyebabkan keadaan kewangan syarikat tersebut tergugat selain dua malapetaka iaitu kehilangan MH370 dan letupan MH17.

"Sebagai usaha penstrukturan semula organisasi, MAS dalam proses untuk membuang pekerja-pekerjanya dan ini telah menimbulkan ketakutan, kebimbangan dan kekecewaan kepada 20,000 pekerja syarikat tersebut.

"Ini telah melemahkan semangat pekerja-pekerja berkenaan kerana masa hadapan yang gelap dan tidak terjamin," katanya.

Sivakumar turut berkata, kesemua pekerja akan dibuang sekaligus dari senarai kakitangan MAS dan 2 per 3 daripada tenaga kerja itu akan diambil semula untuk ditempatkan di bawah pentadbiran baru MAS Berhad.

"Dijangkakan lebih daripada 8,000 pekerja akan hilang pekerjaan sebelum 1 Jun nanti, jika benar ini berlaku ia merupakan satu malapetaka yang serius dalam sektor perkhidmatan yang terbesar melibatkan sebuah 'Government Linked Company' dalam sejarah kita.

"Apa akan berlaku kepada semua pekerja yang dibuang kerja secara tiba-tiba? Mereka ini berada dalam keadaan terperanjat kerana masing-masing mempunyai tanggungan yang tinggi.

"Mereka akan menghadapi beban hidup yang lebih tinggi setelah dipecat kerana terpaksa membayar pelbagai komitmen diri dan keluarga. Tindakan MAS untuk membuang 8000 pekerja ini akan menambahkan masalah sosio ekonomi dalam negara kita," sambung beliau.

Beliau berkata, MAS Berhad harus mencari jalan lain untuk mengurangkan kos operasi dan pada masa yang sama memilih strategi-strategi praktikal untuk menambahkan pendapatan.

Keputusan untuk mengurangkan tenaga kerja yang begitu besar amat merugikan negara dan ekonomi rumahtangga mereka yang terlibat. - HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace