DAP serang Presiden PAS memudahkan Umno

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Serangan DAP terhadap Presiden PAS sebenarnya telah ‘memudahkan’ Umno bagi terus menewaskan PAS dan menafikan sokongan rakyat terhadap PAS pada masa akan datang terutamanya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Agung 3 PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam satu kenyataan medianya.

“Saya terpanggil memberikan komentar terhadap beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti DAP dan yang terkini Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang begitu rancak menyerang kami terutamanya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelangnya Muktamar Tahunan PAS pada 4 Jun 2015 ini dan dalam masa yang sama bahawa tahun ini adalah tahun pemilihan di dalam PAS yang akan diadakan.

“Bagi saya, serangan yang dilakukan oleh DAP tersebut jelas mencampuri urusan dalaman PAS dan ia ‘bermotif’ sama sepertimana yang Umno kehendaki iaitu menghancurkan reputasi dan keyakinan rakyat terhadap PAS selama ini,” ujar beliau.
 
Adakah DAP gembira dengan Umno kerana ia telah menjadi ‘penyumbang’ agar rakyat menolak PAS? Sedarkah DAP bahawa jika PAS tewas dan hakikatnya Umno telah menang dengan ‘usaha’ DAP?

“Saya merasa cukup kesal dengan apa yang sedang berlaku kini, seolah-olah DAP umpama seperti ‘menikam’ PAS daripada belakang. Hakikatnya kini, Umno begitu ‘gembira’ dengan tindak tanduk DAP yang terus menerus menyerang PAS dan dalam masa yang sama menambahkan ‘kemarahan’ rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) selama ini,” ujar beliau lagi.
 
Dr. Raja turut menyatakan bahawa DAP perlu faham bahawa yang menentukan pemilihan di dalam PAS adalah perwakilan di dalam Muktamar Tahunan PAS dan bukannya pihak lain yang boleh meletakkan kepimpinan PAS sekarang ini.

Ia sama seperti beradanya PAS di dalam PR bukannya Presiden PAS atau Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang menentukannya, tetapi Muktamar Tahunan PAS lah yang menjadi tempat sebagai kata putus PAS bersama PR sehingga ke saat ini.

Beliau mahu DAP dan rakan kompenan lain perlu yakin bahawa PAS akan sentiasa memegang keputusan Muktamar Tahunan PAS sebagai satu Institusi paling besar yang menentukan hala tuju PAS di dalam politik Negara sepanjang masa.

“Jika DAP dan rakan kompenan lain pun masih meragui keputusan PAS bersama PR, bagaimanakah rakyat di luar sana ingin yakin dengan kita’” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace