Banteras pemerdagangan manusia ke akar umbi

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merakamkan rasa terkejut dan sangat sedih dengan berita mengenai penemuan kubur massa di Perlis yang dijangka melibatkan mangsa Pemerdagangan manusia etnik Rohingya dari Myanmar yang diseludup ke Malaysia. Tidak ada kenyataan yang wajar dilontarkan selain dari kutukan sekeras-kerasnya kepada mereka yang terlibat.

Inilah jenayah kemanusiaan pada zaman moden yang paling jijik yang melibatkan eksploitasi golongan yang lemah untuk menjadi hamba kepada mereka yang rakus dan zalim.

Kami mendesak pihak berkuasa bertindak tegas membenteras sindiket Pemerdagangan manusia yang jelas nampaknya bergerak aktif di sempadan Malaysia dan Thailand.

Jenayah ini sama sekali tidak boleh dikompromi dan pihak yang terlibat mesti dihukum dengan hukuman paling berat mengikut undang-undang yang sedia ada. Mana-mana pihak dari agensi kerajaan yang didapati terbabit dan bersubahat perlu didakwa dan dihukum.

Kami mengesa agar data DNA mangsa dapat dikumpul untuk memungkinkan saudara-mara mereka dapat menghubungi pihak keselamatan bagi memastikan sema ada yang terlibat dibunuh dan ditanam dalam kubur yang ditemuai itu adalah saudara mereka yang berkenaan.

Mapim bersedia menghulurkan khidmat perhubungan antara keluarga etnik Rohingya yang sudah berada di Malaysia untuk mengenalpasti sema ada mangsa yang terlibat adalah ahli keluarga mereka.

Penemuan 139 kubur bersama 29 kem yang dijangka melibatkan mangsa Rohingya dari Myanmar di hutan Perlis baru-baru ini secara jelas menandakan bahawa kegiatan sindiket Pemerdagangan manusia antara sempadan Malaysia dan Thailand bergiat secara terancang dan terlindung. Tanda sindiket ini bergerak dengan terancang dan mempunyai keupayaan mengendalikan ratusan mangsa untuk di tempatkan di kem-kem di dalam hutan antara sempadan Thailand dan Malaysia, menunjukkan operasi mereka  sangat licik dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang berkesan.

Tidak mungkin kegiatan ini yang didakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kementerian Dalam Negeri sudah beroperasi sejak 5 tahun yang lalu tidak dapat dikesan atau diketahui oleh pihak keselamatan di kedua-dua negara.

Penyuludupan  barangan dan pemerdagangan manusia antara sempadan dua negara ini pasti disedari oleh pihak keselamatan, sama ada Malaysia mahupun Thailand, dan dengan itu tidak terlalu sukar rondaan dan pengawasan di sepanjang kawasan sempadan boleh mengesan kegiatan penyuludupan. Apatah lagi jika ia melibatkan sekian ramai mangsa dan sekian banyak kem seperti yang ditemui di Perlis.

Soal kawasan hutan yang tebal dan terpencil dan sukar membuat pengawasan tidak harus timbul kerana pihak keselamatan boleh mengesan melalui rondaan yang lebih kerap dikawasan yang berpotensi ujudnya operasi sindiket penyuludupan.

Penahanan 26 orang yang disyaki dan dua orang anggota polis yang dikatakan terlibat seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara memang menunjukkan pihak keselamatan tidak mendiamkan diri. Akan tetapi penemuan sedemikian banyak kubur di sempadan Malaysia dan Thailand mendedahkan pengawasan yang dilakukan tidak berkesan.

Ternyata jenayah yang sangat keji ini berlaku dalam keadaan wujud pihak yang bersekongkol dengan sindiket yang sanggup menyiksa dan membunuh mangsa jika keuntungan yang ingin diraih tidak diperoleh.

Kami ingin mengingatkan, Pemerdagangan manusia ini berpunca daripada penindasan dan operasi penghapusan etnik minoriti Rohingya Muslim oleh regim Myanmar. Kewujudan sindiket yang beroperasi di tiga negara iaitu Myanmar, Thailand dan Malaysia telah mengambil kesempatan daripada penindasan yang dihadapi oleh etnik Rohingya untuk mengiatkan operasi Pemerdagangan manusia..

Sejak Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyuludupan Migran 2007 diwujudkan bermakna sindiket yang beroperasi tidak berjaya dibenteras oleh pihak berkuasa. Dengan penemuan kubur yang sedemikian banyak di hutan Perlis itu membuktikan betapa sindiket tersebut bergerak dengan mudah. Pergerakan membawa mangsa pelarian Rohingya sedemikian ramai mustahil tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

Kami mengesa supaya kegiatan Pemerdagangan manusia segera diatasi pada skala antarabangsa. Punca wujudnya kegiatan ini mesti dikenalpasti yang melibatkan penindasan, diskriminasi, kemiskinan dan ketidakserataan ekonomi.

Adalah bergantung kepada pihak kerajaan untuk membenteras Pemerdagangan manusia dengan melihat hak kerakyatan serta peluang ekonomi yang adil sebagai faktor yang dapat mengelakkan jenayah tersebut.

Kami menarik perhatian kepada Protokol Menghindari, Menindas dan Menghukum Pemerdagangan Manusia terutama Kanak-kanak dan Wanita  yang diperkenalkan oleh PBB sebagai panduan kepada negara-negara untuk membenteras Pemerdagangan manusia. Ia termasuk soal melindungi mangsa yang terlibat. Malaysia dikatakan telah menandatangani Protokol ini . Malaysia wajar meningkatkan usahanya selaras dengan panduan dalam Protokol tersebut.

Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen PBB Mengenai Status Pelarian 1951, namun ia juga terikat kepada undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia berkait perlindungan mereka yang menghadapi ancaman nyawa akibat penindasan.

Kami mengesa agar kerajaan Malaysia menimbangkan menandatangani Konvensyen tersebut agar usaha di peringkat antarabangsa dapat digerakkan oleh Malaysia dengan lebih berkesan demi mengatasi jenayah pemerdagangan manusia.

Kami mengesa semua kerajaan negeri dan pusat memberi kerjasama sepenuhnya dalam menangani isu pelarian di Malaysia, terutama isu pelarian Rohingya yang kini menjadi perhatian dunia.  Malaysia adalah destinasi utama di rantau ini untuk pelarian Rohingya. Oleh sebab isu ini sangat jelas berpunca dari penindasan kaum minoriti Rohingya di Myanmar, maka menjadi tanggungjawab kemanusiaan untuk semua kerajaan negeri bersama kerajaan pusat bersepakat membantu mencari penyelesaian.

Kami mengesa agar mereka yang disahkan sebagai pelarian  yang diterima untuk penempatan sementara perlu diberi peluang bekerja untuk menampung kehidupan mereka dinegara ini. NGO kemanusiaan perlu dilibatkan untuk membantu mereka bagi mendapatkan keperluan asas seperti persekolahan anak-anak dan rawatan kesihatan.

Kami menuntut:

1.Siasatan segera dilakukan oleh pihak keselamatan bagi mengenalpasti pihak yang terlibat dalam jenayah Pemerdagangan manusia dan pembunuhan beramai-ramai mangsa pelarian yang ditemui di Perlis. Kami mengesa sebuah Lembaga bersepadu diwujudkan antara agensi kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilakukan dengan berkesan.

2. Asean dan negara kuasa besar mengadakan sidang tergempar peringkat pemimpin tertinggi  untuk menekan regim Myanmar menghentikan dasar Apartheid yang diamalkan keatas golongan minoriti Rohingya. Pertimbangan untuk mengantung keanggotaannya dalam Asean hendaklah dijadikan satu pilihan jika regim Myanmar berdegil meneruskan penindasan ke atas minoriti Rohingya.

3. Malaysia perlu mengambil inisiatif utama selaku Pengerusi Asean untuk mendesak Myanmar menghentikan penindasan,  memberi kerakyatan kepada etnik Rohingya serta membenarkan pelarian Rohingya kembali ke tempat asal mereka.

4. Majlis Keselamatan PBB menghantar tentera pengaman ke Myanmar untuk mengawal keganasan antara kaum dan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada mangsa minoriti Rohingya yang di tempatkan di kem IDP diseluruh Negeri Rakhine (dahulu Arakan) di Myanmar. Kaum Rohingya yang ingin pulang ke Myanmar dan perkampungan mereka hendaklah dilindungi oleh PBB.

5. Pihak OIC bekerjasama dengan PBB dan Asean bagi memastikan hak kaum Muslimin Rohingya sama ada yang masih berada dalam Myanmar mahupun yang menjadi pelarian di negara luar  dilindungi.

6. Negara-negara besar dunia iaitu US, UK, China, India, Jepun, Australia, Kesatuan Eropah dan agensi dan kumpulan negara diperingkat antarabangsa seperti PBB, Majlis Keselamatan, dan G8, menggunakan pengaruh mereka menekan Myanmar secara politik dan ekonomi untuk memaksa regim Myanmar menghentikan dasar Apartheid ke atas minoriti Rohingya dan minoriti yang lain. – HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace