Elok Najib, Tun M berdebat daripada 'perang' melalui blog

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sejak menarik balik sokongan dan menggesa Perdana Menteri berundur untuk menyelamatkan masa depan Umno dan BN, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah beberapa kali menggunakan blognya untuk melancarkan serangan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Najib pula, walaupun dikelilingi oleh media arus perdana untuk publisiti dirinya, sejak akhir-akhir ini mula memilih medium yang sama yang berhujah dengan Mahathir.

Bagi penulis Shahbudin Husin, dengan kecenderungan itu, Najib dan Mahathir kini seperti sedang 'berperang' dan berbalas jawapan melalui blog masing-masing.

Menurutnya, sebagaimana jawapan dalam 13 perkara mengenai kepimpinannya oleh Najib sebelum ini yang disifatkan oleh Tun Mahathir 'tidak menjawab apa-apa', penjelasan terbaru berhubung GST semalam yang bercampur serangan dan sindiran kali ini pastinya mengundang libasan lagi daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Akhirnya, kata beliau sesi jawab menjawab antara Najib dengan Mahathir itu akan berterusan dan menjadi lebih meriah lagi dari masa ke semasa.

"Bilakah akan berakhir semuanya? Apakah 'perang' melalui blog ini akan berterusan sehingga PRU14 akan datang?" tanya beliau.

Justeru, pada pendapatnya, sementara Mahathir sudah menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka, bukankah lebih baik jika Najib bersedia menyahutnya. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace