Kompleks Al-Makmur PAS Pahang masuk peringkat akhir

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Pembinaan Kompleks Al-Makmur PAS Pahang kini masuk ke peringkat akhir bagi fasa satu dengan pemasangan atap dan bumbung rata konkrit, tetapi masih memerlukan sumbangan.

Bendahari PAS Pahang yang juga pengarah projek berkenaan Musaniff Abdul Rahman berkata, dengan itu bangunan mengandungi pusat pentadbiran, tarbiyah dan dewan berhimpun PAS Pahang itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Katanya, pada masa ini kerja-kerja ditumpukan kepada menyiapkan dewan dua tingkat berkeluasan 22,464 kaki persegi yang apabila siap mampu menempatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

“Kini kerja-kerja pembinaan telah masuk peringkat ketiga fasa satu. Projek mercu tanda PAS Pahang ini bermula tahun lalu dengan kerja-kerja tanah (ground work) dan tapak sehingga aras lantai, telah menelan kos sebanyak RM500.

“Peringkat kedua pula disempunakan kerja-kerja memasang kerangka struktur besi bangunan dewan utama juga menelan belanja RM500,000.

“Bagi peringkat ketiga ini sebanyak RM2 juta diperlukan sebelum akhirnya akan disempurnakan dengan kerja-kerja pendawaian elektrik, pendingin hawa dan bekalan air (MNE) dengan tambahan kos RM1 juta lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi tapak pembinaan.

Musaniff dalam pada itu berkata, idea pembinaan Kompleks Al-Makmur dicetuskan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan beliau sendiri beberapa tahun lalu memandangkan kebanyakan PAS negeri-negeri lain sudah memiliki kompleks sendiri sehingga mampu diadakan Muktamar Tahunan PAS.

Tambahnya, sedangkan ahli dan pengaruh PAS di negeri ini telah berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 1955 di Kerdau oleh Allahyarham Mohd Yasin Saleh.

“Kebetulan PAS Pahang mempunyai tanah yang diwakafkan ahli seluas lima ekar yang berkedudukan amat strategik di simpang empat Kerdau di pinggir jalan besar Temerloh-Jerantut dan hanya lima minit perjalanan keluar dari Plaza Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Walau bagaimanapun, PAS Pahang masih amat memerlukan sumbangan dan infak daripada semua pihak bagi menjayakan cita-cita besar ini,” ujarnya.

Tawaran ini dibuka kepada sesiapa yang sudi menghulur derma sebagai tukaran mendapat pahala sedekah jariah dan pelaburan saham akhirat. Bagi yang berhasrat menyahutnya, bolehlah memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama Pembangunan Komples Al Makmur.

Sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat PAS Pahang 09-2965143. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace