Tidak sejiwa dengan PM, lebih baik Muhyiddin berundur

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Mahfuz Omar menyokong penuh saranan yang dibuat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad bahawa Menteri Kabinet perlu meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang sudah dibuat.

Dalam hal 1MDB, katanya ia bukanlah bebanan yang ditanggung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersendirian kerana ia keputusan bersama yang diputuskan oleh jamaah menteri.

"Sepertimana video yang telah tersebar iaitu rakaman ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak seluruh ahli lembaga 1MDB dipecat dan CEOnya disiasat polis maka jelaslah beliau sendiri tidak seiring sejiwa dengan PM," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Beliau berkata, Muhyiddin sendiri menzahirkan kekecewaan dan kerisauan berkenaan isu 1MDB yang akan menyebabkan Umno hilang sokongan rakyat.

Tambahnya, atas nama prinsip tanggungjawab bersama, apabila TPM sudah tidak mampu bersetuju dengan PM, maka adalah lebih baik Muhyiddin berundur dan meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hal ini, ujarnya turut disuarakan oleh Ahli Parlimen veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan bahawa seluruh kabinet bertanggungjawab atas skandal 1MDB kerana ia adalah keputusan bersama yang diputuskan kabinet.

"Saya amat mengharapkan Tan Sri Muhyiddin punyai jiwa besar dan keberanian untuk meletakkan jawatan," ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Katanya, usahlah menangguk di air yang keruh demi mengambil kesempatan untuk menaiki takhta nombor satu negara jikalau PM berundur terlebih dahulu.

Mahfuz menggesa Muhyiddin mencontohi sifat berani Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang sedia meletakkan jawatan atas kekangan yang dihadapi di institusi Parlimen.

Atas keberanian itu, kata bveliau barulah PM Najib membuka mata dan bertindak dengan segera.

"Justeru, saya menyatakan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia sedang menantikan penuh teliti segala keputusan yang akan diambil oleh pihak kerajaan khususnya PM dan TPM berkenaan skandal 1MDB ini.

"Bertindaklah segera sebelum terlambat," kata Mahfuz yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace