Serah memo isu bela etnik minoriti Rohingya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Beberapa Ketua Pemuda PAS negeri menyerahkan memorandum isu pembelaan etnik minoriti Rohingya kepada Menteri Luar Negeri, hari ini.

Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi di samping Khairil Nizam Khirudin (Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan) Ustaz Syarhan Humaizi (Selangor), Ustaz Yusaini Yahya (Perlis), Ustaz Mohd Azam Samat (Kedah), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden (Pulau Pinang), Ustaz Mohd Akmal Kamarudin (Perak), Ustaz Kamaruzaman Abdullah (Terengganu), Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Kelantan) dan Ustaz Hazmi Dibok (Pahang).

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari menyerahkan memorandum itu melalui Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz di lobi parlimen kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berikut ialah kandungan memorandum tersebut.

Memorandum ini diserahkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri untuk menyatakan sokongan padu terhadap resolusi United Nations General Assembly yang telah disepakati pada 29 December 2014.

Kerajaan Myanmar telah didesak untuk mengiktiraf kerakyatan penuh etnik minoriti Muslim Rohingya, menghentikan penindasan terhadap mereka dan memberikan layanan yang adil sebagai rakyat Myanmar yang bebas merdeka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memandang serius mengenai krisis ini. Setiausahanya, Ban Ki-Moon menyifatkan tindakan Kerajaan Myanmar sebagai satu ancaman terancang, genosid dan penghapusan etnik.

Sehingga kini, hampir 2 juta orang etnik minoriti Muslim Rohingya telah dihalau sejak 1948, seramai 140,000 orang sedang mendapatkan perlindungan di kem pelarian dan lebih 5,000 orang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka. Ini bukti keseriusan tekanan hak terhadap minoriti Muslim dan tragedi kemanusiaan yang melampau!

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berikrar akan menjadikan isu ini sebagai agenda penting dalam mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC yang sedang berlangsung hari ini di Kuwait.

Malah, OIC juga akan memobilisasi beberapa kepentingannya untuk membela pelarian etnik minoriti Muslim Rohingya termasuk telah menghantar Duta Khas OIC ke Myanmar bagi mengambil tindakan yang lebih terperinci di peringkat serantau.

Sebaliknya, tindakan sistematik dan kolektif di peringkat ASEAN masih perlahan. YAB Perdana Menteri tidak langsung menyuarakan perihal nasib etnik minoriti Muslim Rohingya di Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 27 April 2015 yang lalu.

Sementara itu, YAB Timbalan Perdana Menteri hanya mahu krisis ini diselesaikan secara peringkat domestik Kerajaan Myanmar tanpa dibebankan kepada negara-negara ASEAN.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tidak harus bersikap apologetik dan pasif dalam hal ini. Ia bukan tindakan intervensi konflik dalaman sesebuah kedaulatan negara, tetapi ia adalah tanggungjawab untuk membela golongan mustadh’afin yang dizalimi dari buminya sendiri. Ia telah menjadi tanggungjawab kolektiviti di peringkat rantau ASEAN untuk bertindak lebih tegas bagi menekan Kerajaan Myanmar yang terus menerus menghapuskan etnik minoriti Muslim Rohingya secara sistematik.

Malaysia boleh mengambil inisiatif dengan menghimpunkan gerakan-gerakan sivil, ahli-ahli Parlimen Islam, kumpulan anak muda dan pakar akademik di rantau ASEAN bagi membincangkan secara serius perkara ini.

Malah, secara drastik, Malaysia wajar memanggil sidang tergempar ASEAN untuk mengimbangi tindakan autokratik Myanmar terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya. Memberi perlindungan sementara terhadap pelarian tidak akan menyelesaikan akar masalah, sebaliknya ia akan menimbulkan lebih banyak dampak sampingan seperti pemerdagangan manusia dan sindiket jenayah antarabangsa. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace