Saham FGV menjunam, Pahang rugi RM478.66 juta

| .

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang menanggung kerugian sebanyak RM478.66 juta berikutan kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV).

Ia menjunam sehingga kurang daripada RM2 iaitu harga terendah dalam sejarah tercatat semalam hanya RM1.92 sahaja.

Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, Kerajaan Negeri Pahang memegang lima peratus saham FGV atau bersamaan dengan 182 juta unit saham.

"Nilai buku saham berkenaan pada tahun 2013 adalah RM829,954,466.25. Harga pasaran saham pada ketika itu adalah RM4.55 seunit.

"Namun, nilai saham FGV telah jatuh secara mendadak sejak beberapa bulan ini, dan telah mencatat nilai terendah semalam di Bursa Malaysia, iaitu hanya bernilai RM1.92 sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bagi peneroka yang telah membeli 800 unit saham dengan membayar RM3,560 semasa ianya disenaraikan, nilai tersebut hanya tinggal RM1,536 sekarang menjadikan pemegangnya rugi RM2,024.

Tambahnya lagi, ramai peneroka membuat pinjaman bank bagi membeli saham tersebut.

"Bagi Kerajaan Pahang, ini bermaksud nilai saham pegangannya hanya bernilai RM349,440,000. Kerugian yang tercatat adalah sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015.

"Saya faham bahawa Felda merupakan asset penting dan sentimental bagi Pahang dan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) membuat pelaburan saham berkenaan, mungkin dengan niat untuk menjana pendapatan.

"Namun, keputusan tersebut kelihatan kurang tepat sehingga warga Pahang mungkin terpaksa menanggung kerugian beratusan juta atas kesilapan kerajaan ini," katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan AMK Malaysia turut menggesa Kerajaan Pahang memberi penjelasan tentang kesan terhadap kewangan negeri berikutan kejatuhan harga saham tersebut.

"Kita ingin tahu adakah saham lima peratus itu dibeli melalui pinjaman bank serta pihak manakah yang mewakili kerajaan negeri untu mengurusan pelaburan FGV.

"Selain itu apa stragegi Kerajaan Pahang untuk berhadapan dengan kemerosotan nilai pelaburan, malah strategi untuk membantu peneroka yang mengalami kerugian?" soalnya. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace