DAP jangan campur urusan pemilihan PAS

SAIDAH HAIRAN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) kesal dengan tindakan pimpinan tertinggi DAP yang melakukan serangan peribadi secara berterusan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan DAP mesti menghentikan apa juga serangan sama ada terhadap Presiden PAS atau parti itu sendiri.

Beliau mengingatkan supaya pemimpin DAP harus berhati-hati dalam mengeluarkan apa juga kenyataan yang menghina Presiden PAS atau parti sehingga boleh menghiris hati ahli-ahli PAS.

"PAS masih bersama dalam Pakatan Rakyat dan saya selaku Ketua DMPP tidak pernah mendengar kenyataan daripada Tok Guru Presiden kami, supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat," tegasnya.

Beliau menegaskan, Dewan Muslimat tetap berdiri teguh untuk bersama dengan Tuan Guru Presiden dan tidak pernah merelakan peribadi atau diri beliau dihina berterusan oleh pimpinan tertinggi DAP.

Zailah turut mengingatkan DAP supaya tidak mencampuri urusan dalaman PAS berkaitan hal muktamar yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun nanti.

"Kita serah kepada perwakilan untuk menentukan masa depan pimpinan PAS yang mereka akan pilih nanti. DAP tidak perlu campur tangan untuk menentukan kepimpinan kami," tegasnya.

Beliau mempersoalkan, PAS tidak pernah campur tangan hal dalaman DAP tetapi kenapa pula DAP bersungguh-sungguh mencampuri hal ehwal PAS sehingga mahu menentukan kepimpinan PAS.

"Saya turut mengingatkan media arus perdana supaya jangan memutarbelitkan fakta dengan melaga-lagakan antara pimpinan PAS menjelang muktamar ini," katanya.

Tambah beliau, DMPP mengharapkan sebarang bentuk kenyataan atau provokasi yang boleh membawa perpecahan dalaman hendaklah dihentikan.

"Kita tidak mahu penyelesaian dalaman Pakatan Rakyat menggunakan saluran media tetapi ia perlu diselesaikan dengan pertemuan pimpinan tiga parti iaitu DAP, PKR dan PAS di meja rundingan," tegasnya.

Beliau berharap semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat segera mengadakan rundingan membincangkan secara serius daripada hati ke hati dan tidak mahu masalah itu diambil kesempatan oleh musuh politik untuk menyerang PAS. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace