Saham FGV RM1.92, kerajaan jangan hanya tutup mulut

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak wajar berdiam diri setelah harga saham FGV merudum ke paras paling teruk sehingga RM1.92 seunit hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Temeroh, Nasrudin Hassan, berdasarkan prospektus FGV pelbagai perancangan direncana sehingga menjadikan tawaran awam permulaannya, IPO RM4.55 antara yang terbesar di Asia.

"Harganya pernah melonjak sehingga RM5.50 sesaham pada 7 Julai 2012 iaitu iaitu ketika perasmian bangunan Menara Felda yang baru dan sambutan Hari Peneroka. Maknanya, tidak sampai sebulan selepas pelancaran IPOnya pada 27 Jun 2012," ujarnya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, kata beliau ia mula jatuh sekitar RM4.60 seunit pada suku pertama 2014, RM2.21 seunit pada 23 Disember 2014 dan secara konsisten merudum sehingga ke hari ini, 28 Mei iaitu RM1.92.

Tambahnya, tren ini membimbangkan malah kebanyakan institusi penyelidikan komersial seperti Maybank Investment Bank Research, Affin Hwang Capital dan lain-lain menjangkakan prestasi buruk itu akan berlarutan sehingga tahun kewangan 2017.

Menurut Nasrudin lagi, hampir kesemuanya membuat panggilan ‘hold’ dan meletakkan sasaran harga yang lebih rendah.

Beliu menambah, sebanyak 75 peratus bisnes teras FGV bergantung kepada komoditi minyak kelapa sawit.

Kini, katanya ia terdedah kepada penurunan harga pasaran dunia, perubahan iklim yang tidak stabil terutama hujung tahun lalu dan kekurangan produksi.

Maka, ujar beliau pihak pengurusan Felda dan Kerajaan Malaysia harus meneroka ruang bisnes yang lebih pelbagai disamping mengukuhkan beberapa bisnes hiliran sepertimana yang dirancang dalam prospektus FGV dua tahun yang lalu.

"Oleh yang demikian, saya ingin tegaskan bahawa pihak Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap nasib badan berkanun yang kepentingannya dimiliki hampir 2 juta peneroka ini," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Tambah beliau, kebanyakan sahamnya turut dimiliki oleh dana awam seperti Lembaga Tabung Haji (8%), KWSP (8%) dan KWAP (7%).

Ini, kata Nasrudin secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan umum dan prestasi institusi utama negara. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace