Sempadan bolos, kedaulatan negara tergugat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Penemuan lebih 100 kubur warga asing di Bukit Wang Burma yang didedahkan baru-baru ini oleh media sebagai salah satu bukti bahawa kedaulatan negara tergugat berikutan sempadan negara senang di bolosi.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, berlakunya penyeludupan dan perdagangan manusia amat mencemaskan dan ia dilihat sebagai petanda hitam yang memberikan gambaran bahawa kedudukan sempadan Malaysia adalah negara yang paling mudah untuk dicerobohi.

"Sama ada di antara negeri Perlis, Perak dan juga Kelantan dengan Negara Thailand di Utara Malaysia, di sebelah Sabah dan Sarawak dengan Filipina dan Indonesia serta di selatan Johor dengan Singapura.

"Kerajaan Malaysia dan Pasukan Keselamatan yang menjaga semua sempadan kita perlu peka dengan cabaran yang ada dan memerlukan satu teknologi terkini sebagai peralatan sokongan bagi tujuan pemantauan," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, Malaysia perlu belajar daripada negara maju yang sanggup melabur dengan peruntukan besar bagi memastikan kedaulatan negara mereka terjamin dan selamat.

Bagi Malaysia, katanya cabaran utama ialah banyak sempadan dengan negara-negara jiran terutamanya lautan sebagai pemisah memerlukan jentera yang mampu dan berupaya bertindak balas dengan segera.

"Apa guna setiap tahun kita menganjurkan Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) yang mempamerkan peralatan canggih ketenteraan daripada seluruh dunia dan saban tahun kita akan menandatanggani perjanjian usaha sama dengan syarikat-syarikat ada.

"Kami merasakan, Malaysia perlu berani melabur dan belajar dengan teknologi-teknologi terkini sebagai satu keperluan oleh Pasukan Keselamatan Negara kita," katanya.

Tambahnya, pastikan jentera yang dibeli mampu membantu dan ia penting kepada Pasukan Keselamatan negara untuk menjalankan operasi-operasi kawalan keselamatan di sempadan.

"Jangan nanti jika ada lagi pendedahan tentang keadaan sempadan negara yang memalukan Malaysia sekiranya lambakan perdagangan manusia terutamanya jika pihak kerajaan mengambil sikap tunggu dan lihat semata-mata tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Pembentukkan atas nama Pasukan Khas ataupun menjadikan kedudukan kawasan tertentu sebagai kawasan khas keselamatan, ia hanya bersifat sementara jika keupayaan kita dengan jentera yang ada tidak mampu bertindak sepantasnya," jelasnya.

Beberapa hari lalu, negara dikejutkan dengan penemuan kubur besar di kawasan Wang Kelian sempadan negeri Perlis dan Thailand, yang mengandungi sebanyak 139 kubur besar dan kecil dipercayai milik pendatang asing.

Turut ditemukan di lokasi terletak hanya kira-kira 100 meter dari negara jiran itu adalah penempatan warga asing berpagar kawat duri yang di dalamnya terdiri daripada 28 buah bangsal dan khemah pelbagai saiz. – HARAKAHDAILY 29/5/2015

Share on Myspace