Waqaf pendidikan ringankan pelajar kurang mampu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sistem waqaf pendidikan mampu meringankan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan meneruskan pengajian mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Waqaf Tunai 2015 di sebuah hotel di Sepang, semalam.

“Apabila sistem waqaf sampai ke satu peringkat, kita dapat bantu membiayai pelajar yang kurang mampu tetapi tidak bermakna semuanya percuma," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Katanya, sesiapa yang mampu boleh memberikan sumbangan sementara yuran minimum boleh dikenakan kepada pelajar hasil daripada kutipan waqaf itu.

Sebelum itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di atas kejayaan melancarkan waqaf tunai pembangunan.

Katanya, Kuis membuktikan kesungguhan menyambut seruan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya membangunkan sistem waqaf dalam bidang pendidikan.

Sistem waqaf yang dibangunkan itu mendapat kerjasama Perbadanan Waqaf Selangor (PWS) dan bakal menjadi model kepada institusi pendidikan lain.

Share on Myspace