Saman Nalla: Mahkamah benar rayuan Anwar

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penghakiman kes liwat pada 1998 tidak diguna pakai sebagai pembelaan Senator Datuk S. Nallakaruppan dan dua lagi dalam kes saman fitnah RM100 juta terhadap mereka.
    
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang mengetuai panel tiga hakim membuat keputusan sebulat suara setelah mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi.  
    
Pada 26 Dis 2012, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Nallakaruppan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd serta Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu Datuk Abdul Aziz Ishak untuk mengekalkan hampir semua penyataan dalam pembelaan bagi kes saman tersebut.
    
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.
    
Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli, mewakili Utusan, memberitahu pemberita bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 43 Akta Keterangan yang menghalang sabitan jenayah lampau diguna pakai di dalam kes saman sivil.

Dalam kes liwat I, iaitu dakwaan meliwat pemandu peribadi, Azizan Abu Bakar, penghakiman bertulis yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad ada menyatakan bahawa 'Anwar mempunyai kecenderungan homoseksual'.
    
Selain itu, mahkamah yang sama turut menolak rayuan balas yang difailkan Nallakaruppan, Utusan dan Abdul Aziz serta memerintahkan mereka membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Anwar.
    
Pada 26 Mac 2012, Anwar memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan berhubung perkataan Nallakaruppan, yang didakwa fitnah dan mencemar nama baiknya, yang disiar di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac 2012 bertajuk "Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang – Nalla".
    
Penyataan tuntutan Anwar mendakwa perkataan berunsur fitnah yang terkandung dalam artikel itu adalah palsu, tidak berasas dan disiar dengan niat jahat.
    
Selain ganti rugi am sebanyak RM100 juta, Anwar menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
    
Kesemua defendan mengemukakan pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat serta komen yang adil, dan mereka bergantung kepada pendapat majoriti dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi kes liwat Anwar pada 1998. - Bernama

Share on Myspace