Saham FGV: Adakah Felda akan berhutang lagi?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sewaktu Tan Sri Raja Alias, selaku Pengerusi Felda bersara pada tahun 2001, beliau meninggalkan jasa yang banyak, kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

"Antara yang diingati, simpanan tunai Felda mencecah RM4.08 bilion manakala hutang Felda dengan Kerajaan Pusat berjumlah RM1 bilion pun telah dilunaskan," ujarnya.

Sebelum itu, katanya hutang dengan Bank Dunia sebanyak RM4 bilion telah dilangsaikan sejak tahun 1996 lagi.

Menurutnya, suatu ketika ada 13 tabung diwujudkan bagi kepentingan masyarakat Felda seperti tabung tanam semula, insurans ladang, latihan, pinjaman pelajaran, pinjaman pembesaran rumah, usahawan dan lain-lain.

"Saya tidak pasti, berapa tabung yang masih aktif dan berperanan membantu peneroka dan generasi baru Felda," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Katanya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab penuh ke atas Felda sekitar tahun 2004 di mana dalam tempoh 5 tahun, simpanan Felda tinggal RM1.35 bilion.

Tambahnya, amat mengejutkan Felda kemudiannya meminjam RM6 bilion daripada KWSP.

"Ertinya, dari mempunyai rezab RM4 bilion, kembali berhutang!" ujarnya lagi.

Menurut Mazlan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dalam kenyataan balasnya terhadap kenyataan beliau menyebut 'kesediaan KWSP memberi pinjaman adalah suatu penghormatan ke atas Felda'.

"Saya tidak pasti angka tepat jadual pembayaran yang Felda kena lakukan setiap tahun kepada KWSP, jumlahnya tidak kurang RM300 juta setahun," katanya

Beliau berkata, ada maklumat yang disampaikan kepadanya ada kemungkinan Felda akan berhutang lagi dengan institusi kewangan.

Menurutnya, perolehan pampasan daripada penyenaraian FGVH dikatakan hanya mampu bertahan setahun dua sahaja lagi di mana bajet tahunan sekitar RM1.8 bilion mesti disediakan.

Kata beliau lagi, penyelenggaraan kebun peneroka dan tanam semula perlu bajet yang besar.

Tambahnya, Tabung Tanam Semula dari caruman bulanan peneroka mulai tahun 1970 hingga 2010 cuma ada RM768 juta sahaja, sedangkan kos tanam semula yang diperlukan hampir RM2 bilion.

Beliau berkata, bayaran melalui Perjanjian Pajakan yang diperolehi daripada FGV setahun cuma RM508 juta sahaja.

Bagi beliau, malapetaka berterusan menimpa Felda jika pinjaman baru terpaksa dilakukan.

"Adalah masih menjadi tanda tanya, Felda meminjam dari KWSP dan jika ada pinjaman baru, apa cagarannya?

"Adakah jaminan kerajaan, atau aset Felda, atau Tanah Felda Plantation yang kini dicagar selama 99 tahun oleh FGV atau tanah para peneroka?" tanya beliau.

Katanya, berdasarkan Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun antara Felda dengan peneroka, adalah jelas Felda boleh kaveat atas tanah peneroka.

Menruut Mazlan, ia boleh dirujuk perenggan 10 mukasurat 3; ' Felda memasukkan satu kaveat persendirian ke atas tanah KEBUN tersebut untuk melindungi hak hak dan kepentingan Felda sekiranya perlu'. Bahkan perenggan 11(b) dengan jelas menyatakan,' Felda mempunyai hak eksklusif atas kebun tersebut (peneroka).

Justeru, katanya Isa atau Datuk Hanapi Suhada selaku Pengarah Besar Felda harus menjawab kegelisahan peneroka tentang kedudukan tanah peneroka jika berlaku situasi yang tidak diingini.

Ini, ditambah dengan suasana saham FGV tinggal RM1.92 seunit manakala Koperasi Permodalan Felda pun terumbang ambing.

"Justeru, memasuki bulan Ramadhan tidak lama lagi, seharusnya Tan Sri Isa Samad melakukan muhasabah sepanjang beliau menjadi Pengerusi Felda," katanya.

Beliau menambah, berbagai laporan polis dan SPRM telah dibuat berhubung aduan pengkhianatan, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Felda.

"Siasatan dan tindakan dari Polis dan SPRM sedang ditagih dan dinanti-nantikan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 29/5/2015

Share on Myspace