Penstrukturan MAS: Pekerja tak patut jadi mangsa

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menggesa syarikat penerbangan negara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) perlu ada pelan komprehensif tanpa melibatkan pembuangan pekerja.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily berkata, walaupun alasan penstrukturan digunakan pihak pengurusan tidak sepatutnya menjadikan kakitangan sebagai mangsa.

"Apa pun tindakan pengurusan MAS terhadap penstrukturan semula syarikat tersebut sepatutnya mereka melalui pelan yang lebih komprehensif tanpa melibatkan pekerja.

"Dalam isu kegawatan ekonomi serta cengkaman GST, sepatutnya pekerja diberikan perlindungan sebaik mungkin agar mereka dapat meneruskan kehidupan," katanya.

Tambah beliau lagi, menghentikan pekerja-pekerja MAS bukan penyelesaian jangka pendek tetapi menimbulkan masalah besar kepada mereka yang menjadi mangsa.

"Dalam hal ini kerajaan perlu campur tangan, mereka yang dihentikan perlu diberi perhatian, adalah lebih baik kajian teliti dilakukan semula.

"Setiap keputusan yang terbaik adalah tidak melibatkan pekerja, ada cara terbaik untuk strukturkan semula MAS," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 30/5/2015

Share on Myspace