22 rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Wang Burma

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa turun dari hutan Bukit Burma di Wang Kelian, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menurut polis.
    
Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia ACP Datin Asmawati Ahmad berkata rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses patologi pada 9.45 malam tadi.
    
Katanya jumlah keseluruhan rangka mayat yang ditemukan setakat ini kekal 35 orang.
    
"Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat akan diteruskan di lain-lain lokasi kubur yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini.
    
Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. - BERNAMA

Share on Myspace