PAS hormati dasar semua parti Pakatan Rakyat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: PAS menghormati dasar semua parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan pada masa yang sama tidak pernah mengkritik dasar yang dianggap tidak dipersetujui parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya parti itu mempunyai terlalu banyak isu yang disepakati bersama seperti menentang rasuah, menuntut keadilan, membela nasib semua kaum dan pelbagai isu rakyat.

“Jadi saya nampak pemimpin-pemimpin PR boleh duduk semeja berbincang isu-isu besar cuma kadang-kadang ulasan media baru terutamanya berlebih-lebihan sehingga menutup kebersamaan kita,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Pahang kali pertama bangunan PAS negeri, di sini pagi ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Md Jusoh Darus, Bendahari negeri Musaniff Abdul Rahman, Ketua Pemuda PAS Pahang Hazmi Dibok, Pengerusi DHPP Pusat dan negeri Pahang N. Balasubramaniam, Ketua Pemuda DHPP Balendran serta 50 ahli.

Tuan Ibrahim dalam ucapannya sebelum itu menceritakan sejarah perjuangan PAS sejak 1951.

Mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang banyak dikritik oleh kawan dan lawan, Tuan Ibrahim berkata ia telah digubal di Dewan Kelantan sebelum wujud PR lagi iaitu pada tahun 1993.

“PAS telah 25 tahun memerintah Kelantan dan pelaksanaan hukum tersebut merupakan janji dan komitmen PAS jadi diharap tidak ada yang mempertikaikannya,” tegasnya.

Dalam majlis yang sama Tuan Ibrahim mewakili PAS Pahang turut menyumbangkan wang berjumlah RM5,000 kepada Balasubramaniam yang mewakili DHPP untuk tujuan melaksanakan gerak kerja.

Sementara itu dalam mesyuarat berkenaan turut memilih 10 orang ahli jawatankuasa bagi mewakili negeri ke Mesyuarat Agung DHPP Pusat pada 26 Julai akan datang. - HARAKAHDAILY 31/5/2015

Share on Myspace