Kekal dalam Pakatan hanya keputusan muktamar

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BAHARU: Hanya pentas muktamar sahaja yang boleh memutuskan sama ada PAS kekal bersama Pakatan Rakyat atau sebaliknya kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

“Sekiranya ada dua kumpulan, satu mahu membawa PAS keluar dari Pakatan dan satu lagi mahu dikekalkan dalam Pakatan Rakyat, ia hanya akan diputus di muktamar di Kuala Selangor hujung minggu ini.

“Saya fikir tidak berbangkit golongan didakwa mahu keluar PAS atau mahu PAS keluar dari Pakatan. Kita kekal di sini. Kalau ada orang mahu keluar maka orang itulah yang bergerak keluar,” ujarnya ketika ditemui di sini kelmarin.

Muktamar PAS kali ke-61 bermula 4 Jun ini di Kuala Selangor. Muktamar dewan-dewan bermula sehari sebelum itu.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS tetap berpegang teguh kepada disiplin berjamaah dan gerak kerja parti berasas akidah Islamiah.

Beliau juga berharap mana-mana pemimpin hendaklah menggunakan ruang di muktamar untuk menyuarakan apa sahaja dan bukannya bercakap di luar gelanggang.

“Kita faham dalam berpolitik, kita tidak boleh lari, ada sedikit sebanyak sokongan mana-mana pihak, tetapi yang boleh menentukan keputusan dan kedudukannya ialah muktamar, insya-Allah.

“Kita memberi ruang perwakilan bersuara. PAS mengamalkan dasar demokrasi, maka muktamar merupakan forum yang terbaik untuk kita memberi pandangan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 31/5/2015

Share on Myspace