TG Nik Abdul Aziz buktikan kemampuan ulama

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Kira-kira 25 tahun lalu ramai curiga terhadap kemampuan ulama untuk mentadbir sebuah negeri.

Namun tomahan tidak berasas itu terjawab dengan sendiri setelah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan kebolehan ulama mengurus negeri sehingga 23 tahun.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata sebelum ini tidak ramai yakin kemampuan seorang yang berserban dan berkain pelikat boleh mengurus sebuah negeri.

“Namun tanggapan itu kini hilang, bahkan Tok Guru dinobat pemimpin cemerlang membangun negeri dengan makmur di bawah kepimpinan ulama,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung PIBG Maahad Muhammadi Pasir Pekan (MMPP) di sini semalam.

Turut hadir Setiasuaha Politiknya Wan Roslan Wan Hamat, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Guru Yayasan Islam Kelantan, Muslim Che Yusoff, Yang Dipertua PIBG MMPP Mohd Nordin Wan Adam dan Pengetua MMPP Tarmizi Said.

Teks ucapannya dibacakan Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya’kob.

Ustaz Ahmad berkata, kepercayaan masyarakat kini semakin tinggi terhadap golongan ulama kerana terbukti mampu mengurus tadbir negeri dan negara.

Sementara itu pada majlis berkenaan diadakan penyampaian anugerah kepada pelajar terbaik tingkatan satu, tingkatan Dua, PT3, Sijil Menengah Ugama, SPM dan STAM 2014. – HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace