Penemuan rangka manusia jejas nama Malaysia?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penemuan 22 rangka manusia di hutan Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis kelmarin memberikan satu persepsi terhadap tahap penguatkuasaan kerajaan bagi mencegah aktiviti pemerdagangan manusia di negara ini.

"Penemuan ini juga merupakan suatu yang mengejutkan dan ia menjejaskan nama baik Malaysia di peringkat Asean," kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Media melaporkan sejumlah 35 rangka manusia telah ditemui di bahagian sempadan negara.

Isnin lalu, pihak penguatkuasa turut menemui 139 kubur di 28 pusat sementara aktiviti pemerdagangan manusia di antara Kampung Wai dan Felcra Tangga 100. Ia menguatkan lagi teori Malaysia sebagai 'transit strategik' bagi aktiviti pemerdagangan manusia.

Nik Abduh menambah, penguatkuasaan di bahagian persempadanan negara perlu diperhebatkan sebagai satu langkah pencegahan terhadap jenayah ini daripada berulang.

Selain itu, beliau berharap jawatankuasa khas dibentuk bagi membendung aktiviti pemerdagangan manusia yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

Tambahnya, Malaysia perlu mencapai standard minimum dalam pencegahan, pendakwaan dan perlindungan dalam menangani pemerdagangan manusia.

Katanya, Laporan Pemerdagangan Orang 2014 (TIP 2014) menurunkan taraf Malaysia dari Tier 2 kepada Tier 3 membuktikan kaedah yang digunakan pakai hari ini masih belum mencapai standard minimum yang dikehendaki di bawah Akta Pemerdangan Orang 2000 (TVPA). - HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace