Muktamar ke-61 bukan penentu PAS keluar Pakatan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menolak Muktamar Tahunan kali ke-61 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini menjadi penentu kepada PAS untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.

Ini kerana menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, tidak ada seorangpun pimpinan tertinggi PAS yang mempunyai pendirian mahu membawa parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat.

"Saya bagi jaminan tidak ada seorang pemimpin tertinggi PAS hendak keluar Pakatan Rakyat. Sesiapa yang menang dalam pemilihan nanti tidak mungkin akan keluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat," katanya.

Tegasnya, spekulasi mengatakan kedudukan Pakatan Rakyat nanti bergantung kepada Muktamar PAS adalah tidak betul.

Bahkan katanya, Muktamar PAS sendiri tidak mungkin akan mengambil keputusan keluar Pakatan Rakyat kerana tidak ada sebarang usul yang mahu parti Islam itu keluar daripada pakatan.

Bukan itu sahaja, beliau juga difahamkan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam muktamar nanti juga tidak menyentuh soal berkenaan.

"Tidak ada ruang disebut keluar Pakatan Rakyat, jadi perkara ini tidak mungkin dibincangkan dalam muktamar nanti," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Malah katanya, PAS tidak semudah untuk keluar daripada Pakatan Rakyat walaupun ada usul tergempar kerana tahaluf siyasi ada syaratnya.

"Hendak keluarpun mesti ada sebab musabab tidak boleh buat keputusan spontan. Dan ianya tidak mungkin berlaku. PAS hendak memutuskan kerjasama bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Tegas Mustafa, satu-satu parti tidak boleh mengeluarkan parti lain daripada Pakatan Rakyat melainkan parti itu tidak selesa dan ia boleh menarik diri daripada pakatan.

"Misalnya pada tahun 2001, DAP tidak berpuas hati dengan PAS kerana konsep Negara Islam dan dia minta kita kuburkan prinsip dan asas perjuangan, kita kata tidak boleh. Sebab itu PAS tidak akan tinggal prinsip

Beliau turut menafikan wujudnya kumpulan-kumpulan di dalam PAS yang pro-Patakan Rakyat dan anti Pakatan Rakyat.

"Pemilihan dua tahun sekali, macam biasa. Oleh kerana zaman media sosial banyak peranan dimanfaatkan baik buruknya. Jadi pemilihan kali ini hangat sedikit, saya akui," katanya. - HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace