PAS guna saluran demokrasi daulat Islam

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: PAS tetap kekal dengan ‘mujahadah’ melandasi Islam sebagai teras perjuangan di samping meneruskan keazaman menduduki Putrajaya menggantikan kerajaan korup BN.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Md Nawi berkata, dasar parti itu tidak berubah biar sesiapa pun yang menerajui PAS selepas muktamar kali ke-61 Khamis ini.

“Sebagai parti Islam, apa pun dilakukan maka asasnya ialah Islam. PAS bertanding dalam pilihan raya bagi memenuhi kehendak demokrasi bagi mendaulatkan Islam.

“Melalui kuasa pemerintahan Islam dapat diterap dalam pentadbiran dan pemerintahan negeri dan negara. Ini berbeza sama sekali dengan cara Umno-BN,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian JKP Demit, Program Local Agenda bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Gotong Royong di Dun Demit dekat sini.

Muktamar PAS kali ini akan diadakan di Kuala Selangor menyaksikan semua jawatan utama termasuk Presiden berlaku pertandingan.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dicabar bekas Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang.

Media arus perdana dan media dalam talian merebut peluang menghangatkan lagi suasana menjelang muktamar.

Turut hadir pada program berkenaan Setiausaha MPKB-BRI Rosnazli Amin, Setiausaha PAS Kubang Kerian Mustafa Salleh dan Pengerusi JKP Demit Mohamad Daud Omar. – HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace