Non-Muslim makin minat fahami KJS

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biar pun usul persendirian belum diberi laluan dibentang di parlimen bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah (KJS) dilaksanakan di Kelantan, namun program penerangan berterusan dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata, Datuk Nassuruddin Daud berkata tumpuan sekarang masyarakat bukan Islam yang tinggal di Kelantan.

Katanya program penerangan kepada masyarakat bukan Islam yang diadakan di sebuah hotel tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan.

Begitu juga program penerangan kepada wakil-wakil persatuan Cina dari luar Kelantan diadakan di Kota Darulnaim.

“Di samping program penerangan di peringkat parlimen, kerajaan negeri juga memberi tumpuan di kawasan-kawasan yang didiami ramai masyarakat bukan Islam.

“Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Dewan Himpunan Penyokong PAS menyusun penerangan kepada mereka,” katanya di sini.

Keazaman kerajaan Kelantan melaksanakan KJS sejak 1993 menimbul kembali konflik Pakatan Rakyat apabila DAP berterusan menentangnya.

Nassuruddin berkata biar pun masih wujud penentangan terbuka namun ia tidak menghalang usaha memberi penjelasan kepada masyarakat non Muslim di peringkat akar umbi.

Menurutnya ramai kalangan mereka kini memahami perundangan tersebut tidak terbabit dengan orang bukan Islam.

“Sebelum ini kerajaan negeri juga mengundang penghulu dan ahli majlis daerah kalangan bukan Islam dari seluruh Kelantan bagi menjelaskan mengenai KJS.

“Rata-rata mereka semakin memahaminya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace