Minyak naik, pulangkan subsidi kepada rakyat

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

KPDNKK melalui Menterinya, DS Hasan Malek lewat petang semalam telah mengumumkan kenaikan 10 sen harga runcit bagi semua jenis minyak iaitu RON95 – RM2.05, RON97 – RM2.35 dan Diesel – RM2.05.
 
Walaupun sebelum ini ia kekal pada harga RM1.95 bagi RON95 dan Diesel serta RM2.25 bagi RON 97 selama tiga bulan berturut-turut, hakikat yang tersembunyi di sebalik pengekalan dan tren turun naik harga minyak ini cukup difahami oleh seluruh rakyat.
 
Pengekalan harga untuk tempoh tertentu itu sekadar bertujuan meredakan ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan berkenaan polisi pemotongan subsidi petrol dan pelaksanaan GST yang memberi kesan langsung kepada bebangan kewangan rakyat.
 
Walaupun OPEC menjangkakan harga minyak tidak akan melepasi paras AS$100 setong sehingga tahun 2025 selepas ia mengalami kejatuhan pada penghujung tahun lalu, berdasarkan tren kejatuhan pada masa lalu, harga minyak dijamin akan kembali naik dan stabil. EIA sebelum ini ada meramalkan bahawa harga global minyak mentah Brent akan meningkat ke paras AS$67 setong menjelang akhir tahun 2015. Setakat semakan malam tadi, harga minyak Brent telah pun berada pada paras AS$65.56.
 
Ini bererti, kaedah pengiraan berdasarkan ‘managed float system’ akan terus menyebabkan pengguna menanggung beban kewangan tambahan pada setiap bulan.
 
Jika diteliti, kenaikan harga minyak global yang turut mengakibatkan kenaikan harga runcit minyak dalam negara adalah merupakan isyarat hasil pendapatan negara selaku pengeluar minyak sedang turut bertambah.
 
Persolannya ialah, jika sebelum ini Kerajaan menghapuskan subsidi beralasankan pendapatan Kerajaan berkurang berikutan kejatuhan harga minyak global, kenapa tidak keuntungan daripada kenaikan semula harga minyak ini dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.
 
Jika Kerajaan berhelah bahawa ia dikembalikan kepada rakyat secara tersasar dalam bentuk BRIM, kewajarannya boleh dipertikaikan. Ini kerana, isi rumah yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 hanya menerima RM750 setahun. Sedangkan, golongan berpendapatan rendah pun sudah menggunakan sehingga 150 liter minyak sebulan iaitu RM307.50 atau RM3,690 setahun.
 
Bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sebenarnya adalah berganda lebih besar berbanding ‘bantuan’ yang disalurkan oleh Kerajaan.
 
Suatu keadaan lagi yang bakal wujud kesan kenaikan harga runcit minyak ini ialah kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang gagal dikawal oleh Kerajaan sebagaimana Kerajaan gagal menanganinya selepas pelaksanaan GST.
 
Yang pasti ialah, semuanya rakyat dipaksa tanggung. – HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace