Etnik Rohingya: Yangon perlu arah tentera berundur

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa pentadbiran Yangon mengarahkan Tenteranya berundur daripada kawasan dan penempatan entik Rohingya di Arakan, Negara Myanmar terutamanya dengan segera.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi, Lajnah Antarabangsa, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam suatu kenyataan medianya.

“Etnik Rohingya perlu diberikan perlindungan dan dijamin keselamatan mereka kerana mereka mempunyai hak di dalam Perlembagaan Negara mereka dimana diikhtiraf sebagai kerakyatan Myanmar sebelum ini. Tiada sebab mereka perlu dihalau dan diperlakukan sedemikian rupa dengan kekejaman dan juga yang mengakibatkan kematian.
 
“Kami juga mengharapkan Kesatuan Ulama Antarabangsa mengambil ruang memberikan rangsangan dan semangat kepada mangsa-mangsa etnik Rohingya yang kini menjadi pelarian agar mereka cekal dan bersabar dengan ujian yang kini menimpa mereka,” tegas beliau.

Dr Raja Ahmad juga mengharapkan mereka diberikan kata semangat agar terus berusaha memastikan hak dan kedudukkan mereka dikembalikan. Dengan suasana yang ada juga, kami mengharapkan pentadbiran Yangon memberikan jaminan agar orang tua, wanita dan kanak-kanak tidak diapa-apakan.
 
Beliau cukup sedih dengan tempoh yang agak panjang tanpa ada tindakan yang sewajarnya diberikan kepada etnik Rohingya dan seolah-olah masyarakat dunia begitu takut dan kurang upaya.

“Di Malaysia, kami meminta agar Kerajaan menggunakan ruang yang ada untuk terus membantu etnik Rohingya yang menjadi pelarian di sini dan juga memainkan peranan yang dimana Malaysia menganggotai pelbagai badan antarabangsa, peringkat Asia dan juga di Asia Tenggara juga.

“Kami yakin Malaysia mampu melakukan lebih daripada itu yang tidak sepertimana Negara-negara lain yang hanya ‘melihat’ sahaja,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 1/6/2015

Share on Myspace