1MDB terima suntikan dana USD1b, bagai tikus baiki labu

HARAKAHDAILY | .

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan suntikan dana USD1 bilion (RM3.66 bilion) kepada 1MDB oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments.

Ramai juga yang tertanya apakah jenis ‘suntikan’ yang diberikan untuk merawat kanser tahap kritikal yang dihidapi oleh 1MDB. Maka, pihak 1MDB pula tampil memperjelaskan bahawa suntikan USD1 bilion itu adalah transaksi perniagaan dan bukan satu pinjaman, hutang atau jaminan keluar.

Namun demikian, rupanya-rupanya penjelasan 1MDB itu telah menimbulkan persoalan baru apabila dalam kenyataan tersebut mengandungi pernyataan “Ia adalah bayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian yang lebih luas untuk mengendalikan pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti antara IPIC, Aabar dan 1MDB secara menyeluruh.”

Bukankah ini bermakna, wujudnya perjanjian transaksi perniagaan antara 1MDB dengan pihak syarikat dari Abu Dhabi itu, yang pastinya akan memberi keuntungan kepada pihak tersebut?

Penjelasan pihak kerajaan dan 1MDB diperlukan untuk menjawab dakwaan bahawa IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment akan diberikan pegangan sehingga 49% dalam anak syarikat 1 MDB, Edra Global Energy? Bukankah 1MDB sendiri bercita-cita untuk menjadi penjana tenaga bebas (IPP) yang terbesar di Malaysia melalui Edra Global Energy?

Pada 2012 dahulu, 1MDB telah berjaya mengambil alih Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (kini dikenali Powertek Energy Sdn Bhd) daripada pemiliknya, Tan Sri T Ananda Krishnan melalui perjanjian bernilai RM 8.5 Billion. Kemudiannya, pada September 2012 pula 1MDB membeli Mastika Lagenda Sdn Bhd yang dimiliki oleh Genting Sanyen dengan nilai perjanjian RM2.3 bilion.

Seterusnya, pada Julai 2013, 1MDB membeli pula Jimah Teknik Sdn Bhd dan Jimah O&M yang dimiliki oleh Jimah Energy Ventures Sdn Bhd dengan nilai perjanjian RM1.2 bilion.

Setelah berbelanja sehingga mencecah RM12 Billion untuk membeli IPP, kini 1 MDB dengan semudahnya pula ingin menyerahkan pegangan sebanyak 49% di dalam Edra Global Energy kepada syarikat dari Abu Dhabi itu sebagai timbal balas atas ihsan bantuan yang diberikan untuk membantu 1 MDB membayar hutangnya yang menggunung tinggi.

Hakikatnya, hubungan 1MDB dengan IPIC ini bukanlah perkara baru. IPIC ini sudah pun datang membantu pada 2012 dahulu ketika 1MDB membeli IPP daripada Syarikat Tanjong dan Genting Berhad. Ketika itu, IPIC memberikan jaminan kertas hutang dengan yang bernilai USD3.5 bilion (RM11.2 bilion) untuk membantu 1MDB menyelesaikan urusan pembelian IPP.

Kini, IPIC muncul kembali sebagai penyelamat kepada 1MDB. Persoalannya, adalah ini langkah strategik yang bijak atau sekadar helah untuk menyelamatkan 1MDB yang kian karam dengan hutang yang tidak tertanggung lagi.

Rakyat mungkin sering diperdengarkan khabar indah berkenaan 1MDB sedangkan hakikatnya kanser yang dialami 1MDB itu sudah pun di tahap kritikal yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Segala tindakan dibuat hanya demi menjaga maruah PM Najib sebagai perintis dan penaung utama 1MDB yang kini sedang diasak hebat di segenap penjuru termasuklah oleh Timbalannya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin menyucikan diri daripada terpalit dengan skandal 1 MDB.

Setelah satu-persatu rahsia dan misteri 1MDB didedahkan, kini rakyat sudah pun mula membuka mata, mereka melihat segala tindakan penyelamatan 1MDB itu sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu. - HARAKAHDAILY 2/6/2015

DATUK MAHFUZ OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Share on Myspace