Pemuda: Medan muhasabah, bukan melempias emosi

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

SELAMAT bermuktamar kepada semua. Jadikan platform ini sebagai medan muhasabah terhadap prestasi dan perjalanan kepimpinan pemuda untuk sesi lalu. Semua perwakilan perlu meneliti sebaik mungkin laporan setiap lajnah di dalam dewan kerana ia adalah indikasi terhadap amanah yang telah ditaklifkan.

Apabila berlaku kekurangan dan perlu penambahbaikan, maka para perwakilan boleh serta wajib melontarkannya. Amatlah malang jika persepsi mengatakan prestasi hingga mengesampingkan perkara yang sepatutnya diutamakan.

Tidak siapa boleh menafikan bahawa sesi ini dilihat agak panas, namun besarlah harapan saya jika kepanasan yang dijangka itu adalah dari segi kerencaman idea dan cadangan dalam meneruskan kerelevanan Pemuda PAS sebagai entiti harapan ummah.

Harus diingat, muktamar bukanlah platform untuk melepaskan dendam atau melempias emosi. Praktikkanlah adab dan akhlak kita sebagai pejuang Islam, jika ada kekurangan, kesilapan serta ketidakpuashatian maka kita boleh lontarkan teguran, bukannya kita mengherdik hingga lari daripada sifat seorang pejuang.

Hangatkan muktamar dengan idea-idea serta saranan yang mampu mempertingkatkan prestasi PAS di arena politik negara. Jangan pula muktamar ini dihangatkan dengan adegan-adegan yang tidak memberikan manfaat kepada jemaah yang kita cintai ini. Saya fikir para pemuda di semua telah mencapai satu tahap yang matang.

Tahun ini adalah musim kita bertanggungjawab untuk mentaklifkan amanah kepada pimpinan bagi sesi 2015-2017. Memilih kepimpinan adalah hak perwakilan dan sesiapa tidak berhak untuk menyekat siapa yang mahu mereka pilih.

Cuma kita boleh memberi saranan dengan memberikan hujah-hujah serta sebab-sebab yang relevan. Yang penting, pilihlah kepimpinan berdasarkan prestasi. Jangan kerana persepsi menyebabkan prestasi itu ditenggelamkan. Memajukan jemaah adalah dengan prestasi, jangan terus dilingkari dengan persepsi hingga kemaraannya terganggu.

Besarlah harapan saya agar ukhuwah sesama kita terus teguh walaupun antara kita mempunyai kekhilafan antara satu sama lain. Yakinlah semua di dalam PAS khususnya dalam konteks Pemuda ini mempunyai matlamat perjuangan yang sama, cumanya pendekatan dan cara berfikir berbeza. Ayuh, Tekal Beriltizam dalam Mempersiap Generasi Kemenangan! – HARAKAHDAILY 2/6/2015

Share on Myspace