Nenek lumpuh keseorangan terpinggir di pondok usang

WANMAN | .

MIRI: Hidup bersendirian tanpa ditemani gelak tawa cucu dan anak-anak semestinya bukan pilihan sesiapa.

Dalam keriuhan dan kemeriahan umat Islam bersiap sedia untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia, seorang nenek tua yang tinggal berseorangan di Kampung Satap, Miri hanya mampu pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah nasib yang terpaksa dilalui oleh nenek tua ini yang sekian lama tinggal keseorangan.

Atiah Duhak, 80, berkata beliau hidup sebatang kara di rumah yang usang dan uzur itu dan tidak pernah berkahwin dan mempunyai keluarga atau saudara mara yang terdekat.

Beliau dilahirkan dalam keadaan cacat kaki dan tidak dapat bergerak seperti manusia normal yang lain.

Setiap hari beliau hanya dapat menguruskan dirinya secara perlahan-lahan tanpa bantuan sesiapa.

Semasa muda, nenek Atiah melakukan pelbagai pekerjaan seperti berkebun dan menoreh getah untuk menyara kehidupan hariannya.

“Mak cik tidak larat untuk bekerja lagi memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan penyakit kaki yang dihidapi sejak lahir lagi, ini membuatkan pergerakan mak cik terbatas,” katanya kepada wakil PAS Miri yang berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan kebajikan, baru-baru ini.

Nenek Atiah berkata beliau tidak suka merayu simpati orang lain sebaliknya cuba sedaya upaya menguruskan hidup secara bersendirian.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana terdapat jiran-jiran sekeliling yang prihatin dan kerap memberikan pertolongan kepadanya termasuk memberi makanan dan keperluan harian yang lain.

Katanya lagi, pihak kerajaan pernah datang menziarahi beliau dan berjanji untuk memberikan bantuan membina rumah kepadanya, namun sehingga kini beliau masih belum menerima apa-apa bentuk bantuan.

Tambahnya, walaupun keadaan dirinya dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), beliau tidak pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dahulu lagi.

“Pihak PAS Kawasan Miri sentiasa komited untuk membantu insan-insan yang kurang berkemampuan termasuk golongan kurang upaya dan warga emas yang terpinggir seperti kes nenek Atiah,” ujar Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Miri, Mohd Arifiriazul Paijo.

Ini, katanya selari dengan slogan PAS yang ingin menjadikan Malaysia sebuah Negara Berkebajikan.

Beliau mengharapkan kerjasama daripada pihak berwajib untuk melakukan siri-siri ziarah berkala bagi mengenal pasti golongan sasaran yang memerlukan bantuan agar semua rakyat di Sarawak khususnya di Miri dapat merasai kehidupan yang lebih baik sepertimana yang diperolehi oleh rakyat yang lain.

"Sungguh sedih melihat keadaan nenek Atiah yang tinggal keseorangan dan tiada ahli keluarga yang boleh dijadikan tempat bergantung harapan.

"Mudah-mudahan dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak PAS Kawasan Miri ini, sedikit sebanyak dapat menceriakan hati nenek Atiah untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi,” kata Mohd Arifiriazul.

Beliau berkata pihak PAS Miri akan cuba untuk memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Baitulmal Miri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam masa terdekat.

“Kami dari pihak PAS Miri berharap nenek Atiah mendapat sokongan dan bantuan segera daripada pihak Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak yang bertanggungjawab yang lain supaya nasib nenek Atiah lebih terbela di akhir usianya,” katanya mengakhiri ziarah kebajikan yang dianjurkan oleh PAS Miri pada hari itu.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada nenek Atiah bolehlah disalurkan ke Akaun Bank Islam “Tabung Prihatin Sarawak” -11022010039807. Sila sms transaksi pemindahan kepada 0105939293 untuk tujuan rekod. - HARAKAHDAILY 2/6/2015

Share on Myspace