Sudahlah Mahathir‬, kerana kamu MAS tenat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tersentap juga hati saya apabila membaca berita mengenai pekerja ‪MAS‬. MAS sangat dekat dengan hati saya memandangkan saya pernah berkhidmat di syarikat yang berlogokan imej wau ini. Saya juga merupakan produk Akademi Penerbangan Malaysia.

Demikian luahan Pengarah, Pemikir Kaum Muda SAMM, Ahmad Anwar Asyraf dalam kenyataan medianya.

“Singkap sejarah lama, sebelum tahun 1993, MAS tidak menghadapi masalah kewangan. MAS mempunyai rizab tunai sekitar RM600 juta. Namun segala keindahan itu berubah wajah apabila Tajuddin Ramli menguasai MAS,” ujar Ahmad.

Menurut beliau, pada tahun 1993, Kerajaan waktu itu diketuai oleh‪ ‎Mahathir‬ Mohammad telah menyerahkan MAS kepada Tajuddin Ramli melalui syarikat‪ Malaysia‬ Helicopter Service yang kemudiannya ditukar kepada Naluri. Kerana "kehandalan" dan "kepintaran" kroni Mahathir ini, MAS telah mewarisi kerugian terkumpul sebanyak RM9.4 bilion sebaik sahaja Tajuddin menjual semula kepada Kerajaan pada tahun 2001.

Mahathir ketika itu masih bergelar Perdana Menteri dan Daim Zainuddin adalah Menteri Kewangan telah membuat keputusan untuk membeli semula saham MAS seperti harga yang dibeli oleh Tajuddin dahulu iaitu RM8.00 sedangkan harga pasaran ketika itu adalah RM3.68. Kononnya untuk menyelamatkan MAS daripada menjadi milikan asing. Tajuddin meraih untung RM 1.8 billion tetapi MAS mewarisi hutang.

Hari ini MAS sudah diisytiharkan muflis dari segi teknikal. 6,000 pekerja telah ditamatkan kontrak. 14,000 lagi pekerja telah diberikan kontrak dengan terma dan syarat baru. Tiada lagi kesatuan sekerja untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka. Tiada lagi Malaysia Airlines yang original. Sebaliknya telah menjadi Malaysia Airlines baharu sepertimana Umno menjadi Umno baharu hasil kerja tangan Mahathir.

“Saya amat mengagumi pekerja MAS selama ini atas usaha mereka yang penuh dedikasi, yang telah menumpahkan usaha gigih mereka dan, tetap kekal setia walaupun ketika syarikat sedang berhadapan komplikasi serius. Sememangnya bekerja di bawah jenama "Malaysian Hospitality" adalah satu kebanggaan. Saya akui itu kerana sehingga hari ini masih terselit rasa bangga pernah menjadi pekerja MAS,” kata Ahmad lagi.

Akan tetapi demi memberikan keuntungan berbillion kepada kroni, Mahathir dan Daim telah menghancurkan kebanggaan ini. Mahathir dan Daim punca segala musibah ke atas MAS hari ini. Mahathir bukan sahaja gagal dalam memilih pengganti beliau sebagai Perdana Menteri, malah Mahathir termasuklah Daim dan Tajuddin telah melakukan dosa yang amat besar terhadap 6,000 orang yang kehilangan pekerjaan.

“Saya berdoa agar sahabat-sahabat satu "batch" dengan saya tidak menjadi mangsa kezaliman trio ini. Andainya ada, saya mengharapkan kalian tabah dan dipermudahkan untuk mendapat pekerjaan baru. – HARAKAHDAILY 2/6/2015

Share on Myspace