Lebih 70 negara sertai tilawah, hafazan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Lebih 70 negara dijangka menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 yang akan berlangsung selama lima hari bermula Selasa depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata setakat ini sebanyak 29 negara dijemput menyertai kategori tilawah manakala 27 negara bagi kategori hafazan selain 20 negara lagi dijemput secara pilihan terbuka dan boleh memilih satu daripada dua kategori itu.

"Bagi kategori tilawah, Malaysia akan diwakili johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 iaitu Wan Ainuddin Hilmi dari Kelantan dan Siti Husnaa Hassan dari Pahang," katanya pada sidang media mengenai majlis tilawah peringkat antarabangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi kategori hafazan, Malaysia akan diwakili johan qari dan qariah Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-36 iaitu Muhammad Syazani Jemy dari Johor dan Farihah Zulkifli dari Wilayah Persekutuan.

Penilaian tilawah yang bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' dilakukan 15 hakim profesional antaranya dari Mesir, Arab Saudi, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand, katanya.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual berangkat menyempurnakan majlis perasmian dan penutupan majlis berprestij itu.

Othman berkata johan qari dan qariah kategori tilawah akan menerima jongkong emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bernilai RM70,000, piala iringan, sijil penyertaan dan wang tunai RM40,000.

Bagi kategori hafazan, johan qari dan qariah bakal menerima jongkong emas sumbangan YaPEIM bernilai RM20,000, piala iringan, sijil penyertaan dan wang tunai RM20,000. - BERNAMA

Share on Myspace