GST tidak tepati ciri keharusan cukai dalam Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pada saat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan diperalatkan untuk mengharuskan percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang zalim itu, maka menjadi kewajipan Dewan Ulamak untuk menegaskan prinsip yang benar.

Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Ustaz Mahfodz Mohamad berkata, GST adalah bercanggah dengan keharusan percukaian dalam Islam.

Hal ini, jelasnya kerana ada tiga syarat yang mesti dipenuhi untuk mengharuskan sesuatu percukaian yang hukum asalnya adalah haram.

Syarat-syarat itu, ujarnya kerajaan berada pada situasi terdesak memerlukan kewangan bagi menguruskan negara, keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan sebelum ini dan cukai hanya dikenakan kepada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan

"Ketiga-tiga syarat ini telah gagal ditepati oleh sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Pertamanya, kerajaan tidak berada pada kondisi mendesak kepada sumber kewangan baru," ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar dekat sini, pagi ini.

Katanya, dengan sumber sedia ada menerusi cukai langsung dan tidak langsung serta sumber-sumber lain sebagaimana boleh dilihat dalam Laporan Audit Negara, kerajaan sebenarnya mampu menguruskan kewangan negara.

Antaranya, ujar beliau dengan membetulkan belanjawan dan perbelanjaan negara daripada berlaku defisit berpanjangan.

Tambahnya, untuk tempoh yang panjang selama 18 tahun berturut-turut sejak 1997 kerajaan telah mengamalkan belanjawan dan perbelanjaan defisit.

Hasilnya, kata beliau hutang negara meningkat daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada lebih RM600 billion pada awal 2015.

"Keduanya, masalah kewangan yang sedang berlaku hari ini oleh kerajaan Barisan nasional adalah disebabkan ketirisan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan," ujarnya pada muktamar yang dirasmikan oleh Musyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din itu.

Hadir sama pada muktamar dengan tema 'Prinsip Perjuangan Asas Nusrah Kemenangan' itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mazlan Aliman.

Menurutnya, laporan oleh sebuah NGO bernama C4, berdasarkan kajian terhadap Laporan Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dan pembaziran kewangan setiap tahun antara RM23 hingga RM40 bilion setahun.

Ketiganya, jelas beliau cukai sepatutnya dikenakan berasaskan pendapatan bukannya perbelanjaan. Cukai GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan rakyat.

Justeru, tegasnya cukai GST tidak boleh membezakan antara si kaya dan si miskin.

"Semua pihak akan dikenakan cukai apabila berbelanja. Cukai sepatutnya dikenakan kepada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan bukannya kerana mereka yang miskin.

"Atas dasar itulah Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa GST tidak menepati ciri keharusan cukai dalam Islam kerana akhirnya ia membawa kepada kezaliman dan penindasan," ujarnya.

Katanya lagi, kesan buruk GST menyebabkan kenaikan harga barang yang melampau.

Dengan GST, ujar beliau harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sehingga menjangkau jumlah RM42 juta sehari sebagaimana diumumkan oleh kerajaan. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace