Muslimat PAS sebak imbau jasa TGNA

| .

SHAH ALAM: Sidang Muktamar Dewan Muslimat kali ke-55 yang berlangsung hari ini menyentuh hati 756 perwakilan yang hadir memenuhi dewan Shah Alam Convention Centre (SACC).

Para perwakilan dari seluruh negara menahan sebak apabila satu tayangan montaj 'Murobbi Ummah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat' sebagai pembukaan muktamar kali ini.

Montaj yang berdurasi 11 minit itu mengimbau kembali perjalanan pemimpin yang disayangi itu sejak awal penglibatan beliau di dalam perjuangan Islam hinggalah perjalanan terakhir beliau menemui Maha Pencipta pada 12 Februari 2015.

Masing-masing perwakilan kelihatan mengesat air mata sebaik sahaja beberapa ungkapan dan pesanan Tuan Guru itu ditayangkan.

Seramai 1,100 hadirin termasuk pemerhati mula memenuhi dewan SACC sejak awal pagi lagi.

Beberapa pimpinan PAS Pusat turut hadir pada perasmian muktamar dengan tema 'Memantapkan Ukhuwah, Merakyatkan Perjuangan' antaranya Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) Saraswathy, isteri-isteri pemimpin termasuk isteri Menteri Besar Selangor.

Muktamar kali ini akan dirasmikan oleh Mohamad Sabu. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace