Muslimat PAS fokus kukuh parti, halatuju perjuangan

| .

SHAH ALAM: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusof menyeru seluruh ahlinya memantapkan ukhuwah dan memadamkan semua syak wasangka serta terus istiqamah merakyatkan perjuangan.

Beliau berkata, muslimat mesti mencari titik pertemuan walaupun masing-masing mempunyai pelbagai pandangan.

"Sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam tidak melalui jalan yang mudah bahkan kita sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan.

"Walaubagaimanapun, kita hendaklah tetap dan tabah, beristiqamah, tidak menyeleweng dari dasar Islam.

"Pupuk ukhuwwah dan elakkan bertelingkah sesama sendiri dan sentiasa bermunajat dan mengikat diri dengan Allah SWT," katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada Muktamar DMPP Ke-55 di Shah Alam Convention Center, dekat sini hari ini.

Beliau menegaskan, kebocoran maklumat dan kerahsiaan dalam gerakan Islam yang berlaku kini memberi kesan besar kepada keutuhan gerakan Islam PAS yang mementingkan etika dan adab kerahsiaan dalam jemaah.

Hal ini ditambah dengan kelicikan pengamal media baharu yang sentiasa mendahului dalam menyampaikan berita dan maklumat sensasi.

"Ini kerana kegagalan sebahagian ahli PAS untuk mengelak diri atau mengawal diri daripada mendedahkan perselisihan di antara mereka melalui media baharu sama ada bersifat perselisihan individu alam jemaah atau antara kumpulan yang berlainan.

"Cabaran yang bersifat ancaman dari media baharu ke atas gerakan ISlam kalau tidak dibendung secara berhikmah akan menjadi kanser kepada jemaah kita," katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan seluruh muslimat agar tidak terpengaruh dengan istilah 'ulama' dan 'profesional' yang digunakan media dan musuh-musuh PAS untuk memecahkan ahli.

"Isu-isu yang diperbesar dalam media sosial termasuk facebok, whatsapp dan sebagainya bukanlah pertembungan antara kumpulan ulama dan profesional, aktivis dalam PAS," tegasnya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu sebaliknya menjelaskan, apa yang berlaku dalam PAS adalah pertembungan dua aliran pemikiran yang berbeza pandangan dan pendekatan.

"Kedua-dua kelompok yang berbeza pandangan ini juga mempunyai pengikut dari kalangan ahli yang berlatar belakang pendidikan agama,ustaz, doktor, jurutera, peguam dan profesional yang lain.

"Bahkan kedua-dua kumpulan in i juga mempunyai penyokong dari kalangan aktivis," jelasnya. 

Menurut beliau juga, tema 'Memantapkan Ukhuwah, Merakyatkan Perjuangan' diangkat menjadi tema muktamar kali ini sebagai satu ajakan kepada ahli muslimin dan muslimat untuk fokus kepada dua isu utama iaitu pengukuhan dalaman parti dan hala tuju perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace