3 penggal Dewan Ulamak PAS tiada pertandingan

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

KUALA LUMPUR: Untuk tiga penggal berturut-turut tidak berlaku sebarang pertandingan dalam kalangan pucuk pimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat kerana semuanya berjalan secara rundingan dan syura.

"Itulah langkah terbaik dalam menentukan saf kepimpinan perjuangan Islam. Kepada mereka yang diberikan amanah kepimpinan berdoalah kepada Allah agar kita terus memperolehi pahala menerusi amanah ini," ujar pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar dekat sini, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh saf kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat dan juga Dewan Ulamak PAS negeri yang telah berjaya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ahli dan kepimpinan parti.

Tambahnya, tanggungjawab ulama yang besar ialah mengajak masyarakat kembali kepada Islam serta mendidik dan menasihati ahli PAS untuk sentiasa mengukuhkan dasar dan prinsip perjuangan.

"Moga kita terus gagah dan istiqamah melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Insya Allah, kemenangan berkuasa sudah sangat hampir bagi perjuangan Islam setelah kita istiqamah dengan prinsip perjuangan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace