Muktamar Pemuda PAS lulus usul EKJS tanpa bahas

| .

 SHAH ALAM: Lima usul dikemukakan pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke-56, dua daripadanya diterima tanpa bahas.

Manakala satu usul dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Gelang Patah berhubung had usia keahlian Pemuda PAS ditolak dengan sokongan majoriti perwakilan.

Antara usul yang diluluskan tanpa bahas adalah mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Setiawangsa.

Muktamar Pemuda PAS hari ini mengusulkan supaya sokongan penuh kepada ahli-ahli parlimen PAS khususnya Presiden PAS untuk membawa usul pindaan Akta 355 berkait kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan enakmen tersebut dapat dilaksanakan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS berusaha mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli parlimen di kawasan masing-masing terhadap pindaan tersebut serta mengiatkan penerangan kepada masyarakat Malaysia tentang kelebihan undang-undang Islam.

Selain itu usul mengenai had maksima perwakilan yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang turut diterima tanpa bahas.

Melalui usul ini, mengikut Fasal 19 (5) Perlembagaan PAS menetapkan setiap PAS Kawasan berhak menghantar empat orang perwakilan ke Muktamar PAS Pusat bagi kawasan yang mempunyai ahli kurang dua ribu orang.

Manakala, jika ahli lebih dari dua ribu orang, maka boleh ditambah seorang perwakilan bagi setiap seribu orang ahli berikutnya sehinggalah maksimum 10 orang.

Melalui usul ini Dewan Pemuda PAS Malaysia mengusulkan supaya dipinda Perlembagaan PAS Fasal 19 (5) berkait dengan jumlah perwakilan dan had maksimum 10 orang perwakilan dengan memansuhkan had maksimum tersebut supaya setiap kawasan yang mempunyai jumlah ahli yang ramai berhak untuk menghantar perwakilan bagi setiap seribu ahli dengan seorang perwakilan tanpa had maksimum.

Sementara itu usul yang diterima untuk dibahaskan adalah dari Dewan Pemuda PAS Dungun yang meminta pemerkasaan Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat.

Usul ini meminta agar Jawatankuasa Tatatertib PAS diberi kuasa penuh kepada mereka untuk menerima laporan, menyiasat dan seterusnya menghakimi kes-kes disiplin tidak sepertimana hari ini yang perlu dihantar laporan dan siasatan kepada pejabat agung PAS terlebih dahulu.

Usul ini turut memberi kuasa kepada muktamar untuk memilih Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS di kalangan veteran parti dan mereka yang tidak memegang sebarang jawatan dalam PAS.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengemukakan usul selamatkan negara berhubung isu kerugian Membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan juga kerugian membabitkan saham Felda Global Ventures (FGV).

Usul ini diterima untuk dibahaskan dengan beberapa pindaan. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace