Muslimat PAS lulus usul perkukuh Pakatan dengan pindaan

| .

SHAH ALAM: Muktamar Tahunan Muslimat kali ke-55 yang bersidang hari ini meluluskan usul perkukuhkan Pakatan Rakyat dengan pindaan.

Usul yang dibawa oleh Dewan Muslimat PAS Pusat menggesa pemimpin dalam Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat mengadakan sidang tergempar bagi menyelesaikan segala masalah dan polemik yang timbul sejak kebelakangan ini.

Wakil Muslimat Adun Seri Serdang Noor Hanim Ismail yang membacakan usul ini meminta semua anggota Pakatan Rakyat perlu menghormati dasar bersama yang telah dipersetujui sejak penubuhan Pakatan Rakyat iaitu bersama dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada dalam perkara yang tidak dipersetujui.

"Konflik dalam Pakatan Rakyat perlu diselesaikan secara harmoni melalui mesyuarat bersama tanpa perlu didedahkan kepada media massa mahupun media alternatif,"katanya.

Usul ini turut disokong oleh perwakilan Johor dan Melaka bagaimanapun perwakilan Terengganu dan Selangor bersetuju dengan pindaan.

Dua usul lagi diterima dengan bahas iaitu menggesa kerajaan Malaysia memansuhkan pelaksanaan GST yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan  Subang dan PAS Kawasan Kuala Langat dan dibahas oleh PAS Kawasan Arau.

Usul mengutuk hukuman bunuh ke atas Dr Muhammad Morsi dan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang dikemukakan oleh Muslimat PAS Pusat diterima sebulat suara daripada semua perwakilan yang hadir. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace