Usul ulamak: Batal kerjasama dengan DAP, kekal dalam PR

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

KUALA LUMPUR: Usul tergempar berhubung tahaluf siyasi (kerjasama politik) PAS dengan DAP diterima sebulat suara pada Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mhd Noor, Taman Melewar petang tadi.

Selepas AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik membentangkan usul itu, perwakilan Dewan Ulamak PAS Perak, Nor Azli Musa bangun untuk membahaskannya yang menggesa para perwakilan berdiri sebagai tanda sokongan.

Pengerusi tetap mengisytiharkan usul tergempar itu diterima sebulat suara.

Kandungan usul tersebut sebagaimana di bawah:

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.

Maka, Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace