Muktamar: Biarlah biduk berlalu kiambang bertaut

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Pemilihan dalam muktamar PAS bukanlah ‘kalah jadi arang’ bagi yang bertanding sebagaimana yang digambarkan oleh sesetengah media.

Tanpa menafikan iklim pemilihan dwi-tahunan itu yang agak panas kali ini, ia merupakan persaingan biasa seperti muktamar yang lepas-lepas.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak andaian pemilihan kali ini sebagai pertembungan antara kumpulan dengan pelbagai label sebaliknya berpendapat hanyalah persaingan bagi yang mahukan pendekatan berbeza.

“Mungkinlah ada yang bertanding menyokong aspirasi presiden parti sementara ada yang lebih cenderung kepada sebaliknya.

“Namun bagi saya itu lumrah, cuma pemain di atas padang tidaklah beria-ia sangat tapi penyokong berada di luar padang pula yang lebih-lebih,” katanya dalam temubual bersama media di sini, semalam.

Tuan Ibrahim berkata, beliau menerima amanah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kali ini setelah memandangkan jumlah pencalonan tertinggi menggambarkan harapan dan sandaran ahli akar umbi.

Mengenai perjalanan muktamar kali ini beliau berharap agar seluruh perwakilan dan pemerhati menghormati, menjaga akhlak serta tidak cuba menimbulkan suasana kurang sihat.

“Jangan boikot siapa sahaja yang berucap. Perlu hormati kerana suka atau tidak mereka tetap pimpinan kita. Kedua, jangan ada kumpulan mengapi-apikan atau provokasi dalam bentuk sorakan atau ejekan. Kerana menang atau kalah itu perkara biasa dalam mana-mana pemilihan muktamar.

“Kena terima realiti, yang menang akan pegang jawatan dan yang kalah tetap ada pos-pos lain untuknya. Kerana setiap zaman itu ada tokoh-tokohnya.

“Ketiga, sama ada dipilih atau tidak parti terus akan memberi ruang untuk kita menyumbang, setiap orang ada peranan masing-masing dalam perjuangan Islam ini,” katanya.

Menjawap soalan apa mahu dilakukan andainya dipilih perwakilan mengisi jawatan yang ditandinginya, beliau dengan rendah diri berkata tidaklah menjanjikan perkara yang besar-besar.

Katanya, paling utama perlu disatukan kembali ahli-ahli PAS sama ada dia profesional, ulama, aktivis atau pengikut biasa dan tidak ada yang kecewa.

“Kita perlu balik kepada akhlak Islam dan satukan pemikiran kembali menghadap cabaran cukup besar seperti kewujudan media baru yang telah banyak memecahbelahkan parti.

“Kedua dalam Pakatan Rakyat kita perlukan tempoh bertenang atau gencatan senjata untuk masing-masing memperkukuhkan parti, memperbaiki kelemahan yang ada bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14,” ujarnya.

Bercakap tentang potensi PAS selepas ini jika kembali bersatu, Tuan Ibrahim optimis parti itu berupaya menggantikan tempat Umno.

Katanya, pada satu masa dulu Umno begitu mendabik dada kononnya mempertahankan agama, bangsa dan negara. Tetapi sekarang kita tidak dengar lagi kempen pemimpin Umno seperti itu.

“Sebab mereka pun sedar selepas lebih setengah abad agama entah ke mana dan kedudukan bangsa entah ke mana. Jadi harapan kalangan orang Melayu yang bermaklumat ialah kepada PAS.

“Sebab itulah PAS perlu ambil peranan tersebut bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan dan kemelut. Tiada lain, penyelesaiannya ialah balik kepada Islam sebab bila rosaknya akidah rosaklah ekonomi dan budaya bangsa kita.

“Jadi yang PAS nak bawa ialah rahmat untuk semua, ini yang PAS nak bawa bukan ekstremis bukan IS seperti yang cuba digambarkan untuk menakut-nakutkan terutama kepada non muslim,” tegasnya.

Justeru beliau menyeru selepas muktamar ini yang terpilih nanti terus memperkasakan agenda parti, perkukuh ukhuwah dan fokuskan isu-isu rakyat seperti alam sekitar, kemiskinan serta pendidikan Islam.

“Anggaplah ini pertandingan adik beradik, tidak berkelahi dan bermasam muka kerana kita masih menganggap ianya proses biasa dalam parti. Kita harap muktamar dapat berlangsung dengan sebaik-baiknya dan apabila selesai biarlah biduk berlalu kiambang akan bertaut kembali," katanya.

Akhirnya beliau menasihatkan kepada pengguna media baru supaya berhati-hati dan jangan menyebarkan maklumat yang tidak sahih, hentikan fitnah dan berhenti memburukkan pihak tertentu. - HARAKAHDAILY 3/6/2015

Share on Myspace