Permasalahan MAS cerminan kemelut Malaysia hari ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Apa yang sedang berlaku kepada Malaysia Airlines sebenarnya mencerminkan apa yang berlaku kepada Malaysia secara keseluruhannya pada hari ini. Kelemahan tadbir urus akhirnya menggagalkan Malaysia Airlines, dan kelemahan tadbir urus jugalah yang akan menggagalkan Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad

“Malaysia Airlines Berhad yang telahpun dirombak kini sedang melalui proses getir untuk menamatkan dan mengambil semula pekerja. 6000 orang mendapat tahu bahawa mereka akan mula menganggur minggu ini. Kesan langsung daripada penamatan pekerjaan oleh Malaysia Airlines ini akan dirasai oleh semua yang terlibat dan bukan sahaja pekerja-pekerja itu; malah pasangan mereka, anak-anak serta tanggungan juga akan menghadapi kesusahan sementara menantikan mereka mendapat latihan-semula atau pekerjaan yang baru.” Katanya.

Menurut beliau bahawa peristiwa minggu ini, dan beberapa bulan yang sudah berlalu, merupakan kemuncak kepada tragedi-tragedi yang telah menimpa Malaysia Airlines sejak Mac 2014 dengan kehilangan pesawat MH370, dan kemudiannya disusuli dengan nahas kapal terbang MH17 yang telah ditembak jatuh akibat persengketaan di Ukraine Timur. Kejadian-kejadian ini pastinya memberi kesan kepada semangat pekerja-pekerja Malaysia Airlines, tambah pula dengan keadaan hal ehwal semasa syarikat sekarang ini yang sudah tentu akan mematahkan lagi semangat mereka.

“Dalam pada itu, kami turut bersimpati dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja kesemua penumpang dan kru yang terlibat di dalam kedua-dua tragedi tersebut.

“Terlalu banyak kemarahan yang diajukan kepada pekerja-pekerja Malaysia Airlines dan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS (MASEU) beberapa minggu ini di media sosial dan media tradisional. Mereka telah dipersalahkan atas kejatuhan syarikat penerbangan nasional ini, dan ramai yang juga yang tidak bersimpati dengan setiap mereka yang telah kehilangan pekerjaan.

“Amatlah mengecewakan salah faham begini terus wujud kerana kebanyakan daripada 20,000 pekerja Malaysia Airlines adalah jujur dan rajin, dan telah menjalankan tugas sebaik mungkin untuk syarikat tersebut. Ribuan orang telah bekerja dengan penuh dedikasi kepada syarikat selama bertahun-tahun dan telah menaikkan nama syarikat itu. Saya percaya, Malaysia Airlines bertahan selama ini pun kerana pekerja-pekerjanya yang bekerja dengan penuh bangga demi mengharumkan nama ikon kebangsaan itu.” Katanya lagi.

Namun menurut Nik Nazmi, memang benar kesatuan juga ada silapnya, tetapi Malaysia Airlines menjadi begini kerana kepincangan di dalam tadbir urus serta campur tangan politik yang telah berlangsungan selama lebih dua dekad.

Selama beberapa tahun ini Malaysia Airlines telah menandatangani kontrak-kontrak yang berat sebelah, memihak kepada syarikat-syarikat dan rakan-rakan kroni, yang menyebabkan kenaikan berlipat ganda harga barangan dan servis yang dibekalkan.

Kontrak-kontrak ini telah meningkatkan lagi kos operasi syarikat secara drastik, dan membenarkan kroni-kroni yang bekerjasama dengan pengurusan tertinggi untuk merompak Malaysia Airlines daripada kekayaannya.

Bahagian-bahagian yang menguntungkan seperti Malaysia Airlines Catering juga telah dirompak oleh kroni. Malah terdapat pilih kasih dalam pengurusan bakat yang menyebabkan ramai orang yang berkelayakan dipinggirkan untuk memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai rangkaian politik.

Keputusan-keputusan dan polisi-polisi ini bukanlah diambil oleh pekerja biasa mahupun kesatuan yang mewakili mereka. Kesemua keputusan dan polisi ini telah diambil oleh pengurusan tertinggi Malaysia Airlines selama 20 tahun yang sudah berlalu. Syarikat ini telah diusahakan demi menguntungkan beberapa pihak yang berkepentingan politik dan bukannya sebagai syarikat komersil seperti yang sepatutnya.

“Sepertimana 6000 pekerja Malaysia Airlines yang kini menganggur, apa yang lebih tragik adalah rakyat biasalah yang paling terkesan akibat tadbir urus yang tidak bertanggungjawab serta kerakusan dalam mengurus kekayaan negara. Kejadian yang berlaku kepada Malaysia Airlines ini merupakan amaran kepada Malaysia, kerana jika pihak atasan tidak mengambil iktibar daripada peristiwa pahit ini, ia mungkin berlaku kepada negara juga.

“Sementara itu, saya memanggil semua rakyat Malaysia untuk berdiri teguh bersama 6000 orang yang telah kehilangan pekerjaan minggu ini. Kami berharap dan mendoakan agar mereka dan keluarga mereka tidak akan menghadapi kesusahan yang berterusan, dan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/6/2015

Share on Myspace