MAS: Air Asia, Malindo Air tawar kerja

BERNAMA | .

SEPANG: Dua syarikat penerbangan tempatan iaitu Air Asia dan Malindo Air sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada kakitangan Malaysia Airlines System (MAS) yang terlibat dengan pemberhentian kerja berikutan penstrukturan semula syarikat itu.
    
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkembangan positif itu adalah kesan daripada keuntungan yang diraih jika negara mempunyai lebih daripada satu syarikat penerbangan.
    
"Ini satu petunjuk baik dalam bidang penerbangan apabila kita ada banyak syarikat penerbangan yang boleh menampung keperluan kakitangan yang diberhentikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo WiFi, Malindo Mobile dan majalah Malindomag di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini hari ini.
    
Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller berkata jumlah sebenar kakitangan MAS yang bakal diberhentikan hanya akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi, kerana ia bergantung kepada keputusan 14,000 kakitangan syarikat penerbangan itu sama ada mahu menerima tawaran kerja baharu daripada MAS atau sebaliknya.
    
Mueller berkata mengikut perancangan seramai 6,000 kakitangan MAS akan menerima surat pemberhentian pekerja dan 14,000 lagi akan menerima surat tawaran kerja bermula 1 Jun.
    
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata syarikat penerbangan itu menawarkan sejumlah 500 peluang pekerjaan kepada bekas kakitangan MAS dalam pelbagai jawatan.
    
"Kami sudah dapat permohonan daripada kakitangan MAS untuk macam-macam jawatan termasuk juruterbang, pramugari serta jawatan bukan teknikal seperti pemasaran serta penjualan tiket," katanya.
    
Chandran berkata pada dasarnya Malindo Air mempunyai 600 kekosongan jawatan sehingga hujung tahun ini, namun syarikat itu memberi keutamaan kepada bekas kakitangan MAS untuk mengisinya.
    
"Adalah lebih baik untuk mengambil bekas kakitangan MAS kerana mereka sememangnya mempunyai kemahiran dan pengalaman," katanya. - BERNAMA

Share on Myspace