Ucapan Presiden PAS positif, perkukuh Pakatan - Azmin

HARAKAHDAILY | .

KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai petanda positif bagi mengukuhkan hubungan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, ini dapat dilihat dengan peringatan Abdul Hadi kepada kepimpinan PAS dan ahlinya agar memahami keperluan parti itu meneruskan perjuangan melalui PR dengan kaedah tahaluf siyasi.

“Ini perkembangan yang cukup baik dan positif dan semua pimpinan PR harus diberi peluang untuk membincang perkara yang baru ini kerana kita akan menghadapi PRU14.

“Tentulah keperluan dalam PR untuk segera duduk bincang dan melihat bagaimana kaedah ketiga-tiga parti ini meneruskan perjuangan atas nama PR seperti ditegaskan Tuan Guru,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan dasar Tuan Guru Abdul Hadi pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu yang turut hadir pada majlis perasmian muktamar yang bertema 'Beristiqamah Hingga Kemenangan' hari ini turut menyeru semua pihak bersikap adil dan profesional dalam menilai ucapan Presiden PAS itu. - HARAKAHDAILY 4/6/2015

Share on Myspace