Selangor sebagai 'role model’ kerjasama PR - Iskandar

HARAKAHDAILY | .

KUALA SELANGOR: Kerjasama dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam kerajaan negeri boleh dijadikan model kesepakatan sebenar yang sepatutnya dicapai PAS, PKR dan DAP.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan PR Selangor itu selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Presiden bercakap tentang kerjasama dalam Pakatan. Selangor sendiri kita dapat lihat kerjasama baik dijalinkan dengan ketiga-tiga parti, baik dalam kerajaan atau pun luar kerajaan dan di semua peringkat.

“Kerjasama ini mengukuhkan lagi perpaduan kita dan kita meneruskan kerjasama di Selangor,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-61 dengan tema 'Beristiqamah Hingga Kemenangan' di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini semalam.

Iskandar turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli PAS supaya menghayati ucapan Abdul Hadi khususnya dalam isu hubungan dalam Pakatan, hubungan dalaman PAS, had demokrasi yang dibolehkan syarak dan isu teokrasi.

“Ucapan mantap, menjelaskan banyak kekeliruan seperti hubungan dalam Pakatan, hubungan dalam PAS itu sendiri, bagaimana keputusan dibuat," ujarnya yang juga exco kerajaan negeri.

Pada pemilihan PAS sempena muktamar kali ini, beliau berjaya memenangi jawatan Naib Presiden PAS bagi sesi 2015-2017 yang diumumkan malam tadi. - HARAKAHDAILY 5/6/2015

Share on Myspace