Tiada istilah bangga dengan kemenangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mengharapkan semua anggota jamaah PAS memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada saf kepimpinan yang dipilih agar dapat dibentuk satu team work yang mantap dan jamaah yang jitu ke arah menjulang Islam dan syariatnya di bumi bertuah ini.

"Terlebih dahulu saya mengucapkan takziah buat mereka yang telah diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk memimpin jamaah tercinta ini, justeru kepercayaan itu adalah bermaksud penyerahan amanah untuk ditunaikan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab," ujarnya.

Tegasnya, tiada istilah bangga dengan kemenangan tersebut.

"Buat mereka yang tidak dipilih, anda adalah sebahagian dari jamaah yang penuh barakah ini. Tiada istilah kecewa.

"Teruskan perjuangan justeru sumbangan anda tetap diperlukan oleh jamaah walaupun tidak lagi di posisi kepimpinan," katanya.

Menurutnya, memberi sumbangan kepada perjuangan Islam adalah satu kewajipan individu dan jamaei yang tidak mengenal posisi.

Tambahnya, bahtera perjuangan Islam akan terus belayar meredah samudera dengan sarat membawa bagasi tarbiyah, dakwah dan siasah.

"Semoga selamat tiba ke destinasi dengan jayanya. Harap tiada yang gopoh untuk sampai dengan menggapai bahtera yang lain dan tiada yang gelojoh untuk mendapatkan air dengan menebuk dinding bahtera.

"Insya Allah, lambat atau cepat, biarlah bahtera ini belayar dengan sunnahnya berpaksikan ketaatan dan kepercayaan penuh kepada nakhoda bahtera," katanya lagi.

Menulis menerusi facebook, beliau berkata amanah kepimpinan ini akan menjadi ujian besar kepada semua penyandangnya.

Justeru, Nasrudin berharap mereka tidak leka dan alpa dari tanggungjawab dan melaksanakannya dengan penuh ikhlas dan juhud (gigih).

Ini, katanya ia bukan sahaja ia dinilai oleh perwakilan tetapi juga segalanya adalah dalam pemerhatian Allah.

"Selamat berjuang daripada saya buat semua agar terus menyumbang kepada Islam dan jamaahnya yang kita perjuangkan ini," ujarnya yang terpilih sebagai AJK bagi sesi 2015-2017. - HARAKAHDAILY 5/6/2015

Share on Myspace