Kalah, perjuangan Islam tetap terus - Mat Sabu

| .

KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menganggap senario kalah menang dalam pemilihan parti itu sebagai perkara biasa.

Beliau berkata, meskipun kalah dalam pemilihan kali ini beliau akan tetap setia dengan PAS.

Bagaimanapun beliau yang lebih dikenali sebagai Abang Mat sempat berseloroh berasa sedikit sedih atas kekalahannya.

"Kita sebagai orang lama... kalah itu biasa tapi undi itu sedikit sangat. Itu yang rasa sedih tu. Abang Mat ini biasa dah kalah menang.

"Saya akan bercuti sekejap... Tapi perjuangan Islam tetap saya akan teruskan," katanya pada sidang media di Muktamar PAS Pusat ke-61, hari ini.

Malam tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi mengumumkan Mat Sabu tewas dengan hanya mendapat 279 undi sementara pencabarnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meraih 881.

Mat Sabu turut menegaskan beliau masih ahli PAS dan masih berada di atas pentas apabila ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk menyertai Pasma.

"Saya masih ahli PAS... masih berada di atas pentas," katanya. - HARAKAHDAILY 5/6/2015

Share on Myspace