PAS lancar derma kilat gempa bumi Sabah

| .

KUALA SELANGOR: Muktamar PAS Kali Ke-61 hari ini melancarkan kutipan derma kilat bagi membantu mangsa gempa bumi di Sabah pagi tadi.

Muktamar menangguhkan seketika sesi perbahasan ucaptama Presiden PAS dan memberi laluan kepada Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi merakam ucapan takziah kepada mangsa yang terlibat.

"Muktamar merakam ucapan takziah kepada rakyat Sabah yang mengalami gempa bumi pagi tadi dan PAS dengan ini melancarkan derma kilat bagi membantu mangsa yang terlibat," katanya.

Sejurus selepas itu, kelihatan petugas-petugas bergerak dari satu perwakilan ke perwakilan bagi mengutip derma.

Gempa bumi dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau berlaku jam 7.15 pagi tadi.

Akhbar melaporkan, gempa yang dikesan di kedalaman 54 kilometer di bawah tanah itu dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.

Ranau dikenal pasti paling teruk terjejas dengan beberapa bangunan dikatakan mengalami kerosakan berikutan kedudukannya paling hampir dengan pusat gempa.

Sementara itu, gegaran susulan berlaku di Ranau jam 9.47 pagi tadi namun dilaporkan tidak sekuat gempa bumi pertama. - HARAKAHDAILY 5/6/2015

Share on Myspace