Tiada kematian, hanya 3 cedera gempa bumi Sabah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Tiada kematian dilaporkan kecuali tiga cedera ringan, termasuk pelancong wanita dari Turki dalam kejadian gempa bumi paling kuat direkodkan di Sabah berukuran 5.9 pada skala Richter, Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan kepada Bernama tiga yang cedera itu terdiri pelancong yang mendaki Gunung Kinabalu, termasuk pelancong Turki berusia 35 tahun.

Mereka yang cedera itu, adalah antara 35 pendaki Gunung Kinabalu, yang dibawa turun dalam kumpulan pertama selepas kejadian gempa itu, katanya.

Setakat ini, katanya banyak laporan yang diterima adalah mengenai kerosakan harta benda awam dan persendirian seperti keretakan jalan dan lantai bangunan, serta cermin dan tingkap pecah.

Gempa bumi yang berlaku pukul 7.15 pagi di Ranau, gegarannya juga dirasai di kebanyakan tempat pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri Sabah telah diaktifkan untuk memantau dan membantu mereka yang memerlukan termasuk yang terkandas di Gunung Kinabalu.

Pada tengah hari, seramai 160 pendaki dilaporkan masih terkandas di gunung itu.

Dalam tindakan proaktif, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan sebuah pesawat Eurocopter EC725 diterbangkan ke kawasan Laban Rata, Gunung Kinabalu untuk membantu usaha menyelamatkan pendaki yang terkandas.

Beliau mengumumkan sebuah pesawat C-130 Hercules bersedia untuk menerbangkan pasukan penyelamat ke kawasan terlibat bagi membantu tugasan Bantuan Bencana (HADR), dan dua batalion tentera darat di Kota Kinabalu dan Labuan kini dalam siap siaga membantu.

Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ogu Salim Omar berkata pihaknya telah menggerakkan 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata setakat ini tiada kawasan di negeri itu terputus hubungan jalan raya susulan kejadian tersebut. - Bernama

Share on Myspace