Muktamar terima 30 usul, 3 lulus tanpa bahas

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA SELANGOR: Sebanyak 30 usul diterima pada Muktamar Tahunan PAS Ke-61 melibatkan 17 kawasan.

Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Usul, Datuk Mahfuz Omar berkata daripada 30 usul itu hanya enam diterima dengan bahas dan tiga daripadanya diluluskan tanpa bahas.

"Kita terima banyak usul namun terpaksa ditolak kerana usul yang dihantar itu tidak memenuhi standard usul yang sebenar.

"Yang ada ini pun kita terpaksa ubah untuk menjadikan ia menepati standard yang sebenar," ucap beliau pada sesi perbahasan usul di Stadium Tertutup Kuala Selangor, pagi ini.

Menurut beliau lagi, antara usul yang diterima dengan bahas adalah usul dari PAS Kawasan Kota Raja iaitu membabitkan isu pemerdagangan manusia dan lambakan pendatang asing.

Selain itu usul PAS Kawasan Serdang berhubung pengurusan organisasi turut diterima tanpa bahas yang menuntut agar PAS Pusat mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau pencapaian Adun dan Ahli Parlimen sepanjang perkhidmatan.

Usul antarabangsa, yang mengutuk hukuman bunuh ke atas Dr Muhammad Morsi dan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi dari Dewan Muslimat PAS Pusat juga diterima untuk dibahas.

"Usul yang cukup sensitif dari Dewan Ulamak PAS Pusat dan Kawasan Tumpat mengenai usul politik berhubung Tahaluf Siyasi yang memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal bersama Pakatan Rakyat.

"Usul ini diterima tanpa bahas setelah perbincangan antara pimpinan tertinggi PAS," sambung beliau.

Dua lagi usul yang diterima tanpa bahas adalah membabitkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II Kelantan daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Usul pendidikan dari PAS Kawasan Ayer Hitam Johor juga diterima tanpa bahas. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace